FAS lantik pengarah sukan Lion City Sailors sebagai setiausaha agung baharu
Pengarah sukan Lion City Sailors, Badri Ghent, dilantik sebagai setiausaha agung baharu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Badri Ghent dilantik sebagai setiausaha agung baharu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). (Gambar: Persatuan Bola Sepak Singapura)
Beliau menggantikan Chew Chun-Liang, yang melepaskan jawatannya serta-merta, menurut kenyataan FAS pada Isnin (1 Sep).
Encik Chew memegang jawatan itu selama kira-kira 10 bulan dan berundur di tengah-tengah pencarian bagi ketua jurulatih baharu FAS untuk pasukan Singa.
Tiada sebab diberikan mengapa Chew melepaskan jawatannya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman FAS.
FAS berkata bahawa Encik Badri Ghent mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dan operasi bola sepak.
Sebagai pengarah sukan sejak kelab Liga Perdana Singapura (SPL) itu ditubuhkan pada 2020, Encik Badri Ghent menyaksikan kejayaan Lion City Sailors merangkul pelbagai kejuaraan domestik, termasuk SPL, Piala Singapura dan Perisai Masyarakat Singapura.
Di bawah pimpinan Encik Badri Ghent, pasukan itu mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC2, sekali gus menjadi pasukan pertama dari Singapura yang berjaya berbuat demikian.
Selain itu, beliau memainkan peranan penting dalam merekrut barisan jurulatih bermutu dan menetapkan piawaian profesional yang menjadikan Sailors sebagai penanda aras kecemerlangan dalam bola sepak tempatan, kata FAS.
Dalam peranan sebelumnya, Encik Badri Ghent menjadi pengurus besar termuda dalam sejarah SPL apabila beliau dilantik di Home United pada 2017.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai pengurus pasukan kelab tersebut sejak 2014.
Kepimpinan awal beliau menetapkan duluan (precedent) dalam liga dan mencerminkan pendekatan berpandangan jauh serta komitmennya dalam membangunkan bola sepak tempatan, kata FAS.
Di Home United, beliau membina asas bagi budaya berprestasi tinggi dan operasi kelab profesional yang kemudian berkembang di bawah kepimpinannya di Lion City Sailors FC.
Presiden FAS, Forrest Li, berkata: "Badri telah terlibat dalam bola sepak Singapura selama lebih satu dekad dan mempunyai pemahaman mendalam tentang ekosistem bola sepak tempatan. Pengalamannya - dari peranan pengurusan di Home United hingga kepimpinannya di Lion City Sailors - mencerminkan keupayaannya untuk meningkatkan piawaian dan membina struktur yang kukuh.
"Kami yakin bahawa kepimpinannya sebagai setiausaha agung akan membantu kami melaksanakan keutamaan majlis, mengukuhkan pasukan negara, dan melonjakkan bola sepak Singapura pada masa hadapan."
"Bagi pihak majlis, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Chun-Liang atas khidmat dan dedikasinya. Profesionalisme dan kepimpinan beliau yang tenang memberi kestabilan serta memperkukuh pentadbiran kami dalam tempoh yang penting.
"Beliau sentiasa menjalankan tugas dengan rendah diri dan komitmen yang tinggi, dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam apa jua usaha beliau selepas ini."
Encik Badri Ghent mengambil alih jawatan itu, sedang pasukan Singa mencari ketua jurulatih baharu, selepas Tsutomu Ogura meletak jawatan pada 24 Jun.
Pasukan negara dijadualkan bermain dua perlawanan persiapan menentang Malaysia dan Myanmar pada September, sebelum berdepan India dalam perlawanan dua hala untuk Kelayakan Piala Asia pada Oktober ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.