FAS bakal bentuk panel nilai prestasi Sukan SEA; cadangan didedahkan kepada umum

(Gambar: Today)
Cadangan-cadangan daripada persidangan itu akan didedahkan kepada umum kelak.
Ketua perbadanan bola sepak negara memaklumkan perkara itu kepada Mediacorp pada Sabtu (20 Mei).
Selain itu, pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Bernard Tan, berkata bahawa pasukan bawah 22 tahun itu tidak akan terlibat dalam sebarang pertandingan antarabangsa.
Ini sehingga penilaian tersebut selesai dan sehingga "pelaksanaan" dapatannya mencapai peringkat yang memuaskan, di mana pihak berkuasa berpuas hati bahawa negara berada di tahap yang sesuai untuk "bersaing".
Perlawanan akan datang bagi pasukan Singa Muda termasuk pusingan kelayakan bagi Kejohanan Asia bawah 23 tahun serta Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, dari September hingga Oktober.
Dalam wawancara bersama Mediacorp, Encik Tan berkata panel itu akan diketua bekas ketua jurulatih negara, Jita Singh, dan tiga anggota majlis FAS: iaitu bekas pemain negara dan penolong chef de mission Lim Tong Hai, bekas kapten negara Razali Saad dan Encik Harman Ali.
Panel itu diberikan empat minggu dan laporan mereka akan dibincangkan secara dalaman selama dua minggu, sebelum ia didedahkan kepada umum.
Encik Tan menekankan pentingnya untuk tidak menyalahkan mana-mana individu, termasuk para pemain.
Berucap tentang kekalahan besar yang dialami Singapura di tangan pesaing sengit, Malaysia, jurulatih Philippe Aw mengaku bahawa terdapat jurang 'ketara" pada mutu pemain Singa Muda dan pasukan lain di rantau ini.
Keadaan akan bertambah buruk jika tiada tindakan diambil untuk menangani taraf bola sepak di Singapura, tambahnya.
Pada Khamis (18 Mei), FAS mengumumkan bahwa Encik Aw diberikan masa untuk berehat "selepas melakukan tugas yang berat" sebagai jurulatih pasukan Singapura di Sukan SEA.
KETERBUKAAN DAN BERTANGGUNGJAWAB
Pada Sabtu, FAS mengadakan sesi tertutup melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam sukan itu, termasuk para peminat, pemain dan jurulatih.
Encik Tan berkata persatuan itu akan berusaha untuk menonjolkan sebarang kemajuan yang dicapai, sementara ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam proses tersebut.
Beliau menarik perhatian kepada beberapa inisiatif yang dirancang, termasuk "mempercepatkan" pembangunan pemain muda untuk membuat penampilan di Liga Perdana Singapura dari 17 tahun ke atas.
FAS juga sedang menghantar para pemain ke dalam "ekosistem lebih baik" untuk menyambung pendidikan mereka dalam bola sepak, sedang ia berusaha mengenal pasti bakat-bakat dengan cara lebih sistematik, tambahnya.
Persatuan itu juga sedang merancang untuk menukar kewarganegaraan pemain asing supaya dapat mewakili pasukan negara.
Encik Tan berkata inisiatif di bawah projek negara "Unleash the Roar" juga sudah bergerak pada "rentak lebih pantas" sejak pandemik COVID-19 berakhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.