Skip to main content

Sukan

FAS ‘amat terkejut’ dengan kritikan ketua SNOC Mark Chay, isu diselesaikan secara tertutup

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) “amat terkejut” dengan komen yang dibuat oleh setiausaha agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay, berhubung pasukan Singa Muda, tetapi menegaskan perkara itu sudah dihuraikan secara tertutup.
Anggaran Waktu Membaca:
FAS ‘amat terkejut’ dengan kritikan ketua SNOC Mark Chay, isu diselesaikan secara tertutup
(Dari kiri) Ketua jurulatih Pasukan Kebangsaan Lelaki Bawah 22 Tahun Firdaus Kassim, naib presiden FAS Tan Li Yu, anggota majlis Yeong Sheau Shyan dan setiausaha agung Badri Ghent semasa satu sidang media pada 26 Disember 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) “amat terkejut” dengan komen yang dibuat oleh setiausaha agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay, berhubung pasukan Singa Muda, tetapi menegaskan perkara itu sudah dihuraikan secara tertutup.

Bercakap pada satu sidang media yang diadakan di Stadium Jalan Besar pada Jumaat (26 Dis), setiausaha agung FAS Badri Ghent berkata beliau mengadakan pertemuan yang “benar-benar produktif dan membina” dengan Encik Chay.

“Apabila komen Mark mula diketahui, saya rasa adil untuk mengatakan bahawa reaksi kami adalah rasa amat terkejut,” kata Encik Badri.

“Komen beliau timbul daripada rasa prihatin terhadap arena bola sepak Singapura, dari segi kedudukan kita pada hari ini berbanding hala tuju kita pada masa hadapan.”

Dalam sidang media selepas Sukan SEA, Encik Chay berkata sikap pasukan itu merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh FAS.

“Para atlet terus meninggalkan padang, malah tidak mengendahkan para penyokong,” katanya mengenai perlawanan menentang Timor-Leste. “Saya faham tentang kekecewaan, tetapi mereka perlu benar-benar melihat kepada aspek semangat kesukanan, sikap dan penghormatan terhadap sukan itu sendiri, serta orang ramai yang hadir untuk menyokong mereka.”

Komen Encik Chay menerima reaksi bercampur-campur daripada komuniti sukan, dengan sebahagiannya sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa kenyataan berhubung sikap para pemain itu adalah “tidak wajar”.

Mengenai perkara itu, Encik Badri berkata beliau berada di perlawanan menentang Timor-Leste dan boleh mengesahkan bahawa para pemain menghargai para penyokong mereka.

“Dalam perbincangan saya dengan Mark, kami mengaitkannya dengan situasi di mana beliau telah meninggalkan tempat duduknya selepas perlawanan dan tidak melihat para pemain menghargai para penyokong,” tambahnya.

“Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik, dan kami bersedia untuk mengenepikan perkara ini, kerana perkara seperti ini tidak membantu secara menyeluruh. Akhirnya, antara FAS dan SNOC … kita semua berada di sini demi kebaikan sukan dan bola sepak di Singapura.”

Encik Badri turut menambah bahawa semangat kesukanan merupakan satu “tonggak asas” di FAS.

“Para pemain dan kakitangan kami tahu bahawa tidak ada tolak ansur dalam hal in. Lebih-lebih lagi apabila kami bermain di luar negara … mereka adalah duta Singapura di dalam dan luar padang,” kata beliau.

Dalam komen pasca-Sukan SEA, Encik Chay turut berkata perlunya ada “penerimaan” dan “kesedaran” daripada FAS bahawa ada masalah yang wujud.

“Kunci untuk membuat sebarang perubahan atau kemajuan ialah penerimaan dan kesedaran tentang … masalah yang wujud,” kata Encik Chay. “Saya belum mendengar apa-apa daripada FAS atau para atlet bahawa terdapat masalah. Saya rasa itu adalah satu masalah sistemik.”

Sebagai maklum balas, Encik Badri berkata beliau turut membincangkan isu “sistemik” itu dengan Encik Chay.

“Dalam perbincangan saya dengan Mark, nampaknya ada beberapa isu asas antara FAS dan SNOC, namun kebanyakannya berpunca daripada hal-hal berkaitan pentadbiran,” tambahnya. “Beliau menjelaskan beberapa perkara, yang saya tidak akan huraikan secara terperinci, tetapi kami berdua meninggalkan pertemuan itu dengan perasaan positif.”

Encik Chay juga berkata beliau tidak menyesal menghantar pasukan itu ke Sukan SEA, tetapi Singa Muda “lemah dari segi kekuatan fizikal, kepantasan dan daya tahan” dalam kekalahan 1-3 di tangan Timor-Leste.

Berhubung perkara itu, Encik Badri berkata terdapat persetujuan bahawa Singa Muda tidak mempamerkan prestasi yang terbaik.

“Keputusan itu buktinya,” kata Encik Badri apabila ditanya mengenai komen terhadap prestasi pasukan. “Kami akan menjadi pihak pertama yang mengakui bahawa banyak perkara boleh dan akan diperbaiki. Terdapat banyak persamaan pandangan dengan Mark mengenai hal ini.”

Pada edisi terakhir kejohanan itu, Singa Muda ditundukkan 0-7 oleh pesaing dari seberang tambak, Malaysia. Ia merupakan kekalahan terbesar Singapura di Sukan SEA sejak pertandingan itu dijadikan acara kumpulan berdasarkan umur pada 2001.

Awal tahun ini, Singa Muda tidak disertakan dalam senarai awal pasukan yang akan bertanding di Sukan SEA. Namun, pasukan itu berjaya membuat rayuan, selepas bermain dalam dua perlawanan persahabatan tertutup. Mereka meraih satu kemenangan dan satu keputusan seri, bagi mengukuhkan hujah mereka agar dimasukkan semula ke dalam senarai atlet bagi Sukan SEA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita