Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Farhanna Farid pecahkan rekod dunia dua kali dalam satu pertandingan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Farhanna Farid pecahkan rekod dunia dua kali dalam satu pertandingan antarabangsa

(Gambar: Tangkapan skrin video International Powerlifting Federation IPF/Facebook)

SINGAPURA: Atlit angkat berat negara, Farhanna Farid berjaya mencatat sejarah dengan rekod dunia yang baru pada Isnin (6 Jun) di Kejuaraan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia 2022 yang diadakan di Sun City, Afrika Selatan.  

Farhanna berjaya mengangkat berat sekitar empat kali ganda berat badannya bagi kategori 'dead lift'.  

Bak kecil-kecil cili padi, atlit dengan berat badan kurang 52 kilogram itu menunjukkan kemampuannya untuk mengangkat berat 200.5 kilogram. 

Beliau mengalahkan atlit dari Perancis, Noemie Allabert (192.5kg) dan Shizuka Rico (185kg) untuk meraih pingat emas. 

Menariknya, sebelum mencatatkan rekod dunia yang baru bagi kategori berat badan bawah 52 kilogram itu, beliau sudah berjaya memecahkan rekod lama dengan mengangkat berat 197 kilogram. 

Rekod dunia bagi kategori itu sebelum ini adalah seberat 196.5 kilogram. 

Ini bermakna bahawa dalam satu pertandingan, Farhanna berjaya memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali! 

TIDAK TAHU BERAT YANG DIANGKAT - TEKNIK FARHANNA PECAHKAN REKOD DUNIA

Di sebalik rekod dunia yang dicatatkannya, Farhanna sebenarnya tidak tahu berapa berat timbangan yang diangkatnya. 

Dia meletakkan kepercayaan kepada jurulatihnya untuk memutuskan berat yang perlu diangkatnya. 

Farhanna memberitahu BERITAmediacorp: "Saya lebih rela tidak tahu beratnya sebab nanti saya fikir bukan-bukan, perkara yang tidak perlu difikirkan seperti sama ada saya boleh angkat atau tidak."

"Saya juga tidak mahu ingatkan situasi sama ada saya perlu melakukan teknik-teknik lain untuk angkat berat dengan betul," tambahnya. 

Cara tersebut ternyata membuahkan hasil bagi Farhanna yang menjadi warga Singapura pertama untuk memenangi Kategori Terbuka dan mencatatkan rekod dunia di sesebuah kejuaraan dunia. 

Farhanna juga berkongsi BERITAmediacorp bahawa beliau secara tidak rasmi sudah memecahkan rekod dunia, di satu pertandingan tempatan pada Oktober tahun lalu. 

Namun, mengikut undang-undang Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa, rekod dunia atau Asia yang dicatatkan di pertandingan tempatan tidak diambil kira kerana ia memerlukan pengesahan pengadil daripada tiga negara. 

"Jadi saya menyertai kejuaraan di Afrika Selatan ini untuk merasmikan rekod dunia itu, untuk saya dan juga Singapura," kata Farhanna kepada BERITAmediacorp. 

Farhanna juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebenarnya, berat yang diangkatnya itu memang sudah biasa diangkatnya semasa sesi-sesi latihan! 

Juara Asia dua kali itu ternyata bangga dapat menempa nama Singapura di persada antarabangsa dalam arena angkat berat.  

FARHANNA CATAT KEPUTUSAN MEMBERANGSANGKAN SECARA KESELURUHAN

Sukan angkat berat merangkumi tiga komponen - 'squat', juak baring atau 'bench press' dan angkat biasa atau 'dead lift'. 

Di kejohanan itu, atlit dari Perancis, Allabert menyandang gelaran juara keseluruhan dengan mengangkat jumlah berat sebanyak 438kg (jumlah yang diangkat bagi setiap tiga komponen) dan disusuli oleh atlit Belanda, Pleun Dekkers (423.5kg). 

Secara keseluruhannya, Farhanna menduduki tempat ketujuh daripada 13 peserta. 

Farhanna menduduki tempat kesembilan bagi kategori 'squat' (132.5kg) manakala tempat ke-12 bagi komponen juak baring (62.5kg).

Pencapaian Farhanna di kejuaraan dunia itu juga menandakan kerjasamanya dengan jurulatihnya yang baru, Panagiotis Tarinidis, bermula dengan rentak kemenangan. 

Farhanna mula berlatih di bawah tunjuk ajar Tarinidis pada awal tahun ini. 

Farhanna berkata: "Program Pana membuat saya pelajari perkara-perkara baru tentang diri saya dan saya rasa saya boleh capai lebih banyak lagi." 

"Beliau juga sentiasa bertanding jadi beliau mempunyai nasihat-nasihat sebenar berdasarkan pengalaman yang saya rasa sangat membantu," tambahnya. 

FARHANNA INGIN TERUS PECAHKAN REKOD DUNIA

Selepas ini, Farhanna akan memberi tumpuan pula pada persiapan bagi Kejuaraan Asia Tenggara yang bakal diadakan September ini di Kuala Lumpur dan Kejohanan Asia pada Disember di Dubai. 

Selepas memecahkan rekod dunia, semangat Farhanna akan terus membara untuk memperbaiki prestasinya dan mencatat rekod baru pada masa akan datang. 

Farhanna berkata: "Pada awal tahun, saya meletakkan sasaran untuk diri saya sehingga akhir tahun. Jadi saya rasa gembira semakin hari semakin mencapai sasaran saya. Saya juga ingin mempertahankan kejuaraan Asia saya."

Farhanna sebenarnya baru berjinak-jinak menyertai pertandingan angkat berat hanya empat tahun lalu. 

Beliau merasakan bahawa sistem sokongan adalah genting untuk dirinya sehingga dapat mencatatkan rekod dunia. 

"Saya rasa bahawa bukan semua orang akan menyokong saya dalam apa yang saya buat. Jadi saya perlu mengorbankan diri dan kadangkala perlu membuat keputusan yang sukar untuk membangunkan ekosistem sokongan saya sendiri yang merangkumi orang yang berfikiran sama" 

"Sebenarnya, saya juga seorang yang keras kepala, jadi saya tahu apa yang saya perlu lakukan untuk mencapai matlamat saya. Saya tidak suka mengalah!" tegas Farhanna. 

Beliau akan meneruskan latihan empat kali seminggunya untuk mencapai sasarannya itu pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan