Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Fandi Ahmad undur diri sebagai Ketua Belia Elit FAS; rancang luang lebih banyak masa bersama keluarga

Ketua Belia Elit FAS, Fandi Ahmad akan berundur daripada jawatannya setelah tamat kontraknya pada Khamis (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Fandi Ahmad undur diri sebagai Ketua Belia Elit FAS; rancang luang lebih banyak masa bersama keluarga

(Gambar: Fandi Ahmad Official/Facebook)

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Khamis (30 Jun) mengumumkan bahawa Ketua Belia Elit FAS, Fandi Ahmad akan berundur daripada jawatannya setelah tamat kontraknya pada Khamis (30 Jun).

Kedua-dua FAS dan Fandi bersetuju dengan aturan ini selepas legenda bola sepak Singapura itu menyatakan hasratnya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.

"Setelah mencecah usia 60 tahun baru-baru ini, saya rasa ia adalah masa yang sesuai untuk saya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga saya dan meneroka cabaran-cabaran lain," luah Fandi kepada FAS.

Fandi turut meluahkan penghargaannya kepada FAS kerana menghormati keputusannya itu.

"Saya akan meninggalkan FAS dengan hati yang berat kerana saya telah mencipta banyak kenangan indah dan menjalin persahabatan dengan ramai rakan kerja di sini," kata Fandi.

"Bagi pihak FAS, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Fandi atas sumbangan dan khidmatnya kepada pertubuhan ini sejak tujuh tahun lalu.

"Saya berbesar hati dapat bekerja dengannya dan saya sendiri pernah melihat secara langsung bagaimana Fandi memberi inspirasi dan menaikkan semangat rakan-rakan sekerjanya dan juga para pemain di bawah bimbingannya. Kami semua sangat berterima kasih atas kerja keras beliau dan saya yakin Fandi akan terus terlibat dengan bola sepak melalui caranya yang tersendiri selepas beliau berehat kelak," kata Setiausaha Agung FAS Yazeen Buhari.

Fandi mula bertugas di FAS apabila beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Singa12 (LionsXII) dari musim 2014 dan seterusnya membimbing pasukan tersebut sehingga menjulang Piala FA Malaysia pada musim berikutnya.

Setelah Pasukan Singa12 dibubarkan, Fandi terus berkhidmat di FAS sebagai jurulatih kakitangan sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih (Belia) pada 2016.

Beliau kemudian memimpin Pasukan Singa Muda (Young Lions) pada awal 2018 dan selepas itu dilantik selaku Ketua Jurulatih Sementara Pasukan Kebangsaan pada Mei di mana beliau melatih pasukan negara yang bertanding dalam Pertandingan Piala AFF Suzuki 2018.

Fandi telah memainkan peranan penting dalam membangunkan dan mengenal pasti bakat-bakat muda seperti Jacob Mahler, Naqiuddin Eunos, Nur Adam Abdullah, Saifullah Akbar dan Zulqarnaen Suzliman.

Para pemain itu juga merupakan sebahagian daripada Pasukan Bawah 22 Tahun (U22) bimbingan Fandi, yang mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam peringkat saringan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia 2019 dan menduduki tangga kedua dalam kumpulan mereka dengan pungutan lima mata.

Pasukan itu kemudian menjulang Piala Merlion setelah menewaskan Thailand dengan gol tunggal yang dijaringkan oleh anaknya, Ikhsan Fandi.

Pada tugas terakhirnya, Fandi memimpin Pasukan Bawah 22 Tahun yang bertanding di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Dari awal 2020, Fandi terus menggalas tanggungjawabnya selaku Ketua Belia Elit FAS sebagai sebahagian daripada pelanjutan kontraknya.
Sumber : CNA/NY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan