Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Fandi Ahmad calon pilihan ganti ketua jurulatih Sri Pahang FC

Hanya nama Fandi Ahmad disebut-sebut sebagai pengganti Christophe Gamel selaku ketua jurulatih baru pasukan Sri Pahang FC, lapor BH Online.

Anggaran Waktu Membaca:
 Fandi Ahmad calon pilihan ganti ketua jurulatih Sri Pahang FC

(Gambar: Fandi Ahmad Official/Facebook)

KUANTAN: Hanya nama Fandi Ahmad disebut-sebut sebagai pengganti Christophe Gamel selaku ketua jurulatih baru pasukan Sri Pahang FC, lapor BH Online.

Sumber memaklumkan bahawa pengurusan skuad pasukan itu sedang mengadakan perbincangan lanjut bersama jurulatih dari Singapura itu.

"Nama Fandi memang ada dalam cadangan selaku ketua jurulatih baru berbanding seorang lagi jurulatih dari Singapura, V Sundramoorthy. Tetapi segala keputusan berhubung pelantikan ketua jurulatih baru akan diketahui dalam tempoh terdekat.

"Apa yang boleh dimaklumkan ialah Dollah Salleh selaku pengurus pasukan musim ini akan memangku tugas yang ditinggalkan Gamel buat sementara.

"Tugas dan fokus Dollah ketika ini ialah untuk persediaan Sri Pahang berdepan Penang FC pada suku akhir Piala FA pada 23 Julai ini," kata sumber itu seperti dinukil dalam laporan BH Online.

Mengikut rekod, Fandi pernah menyarung jersi pasukan Pahang pada 1991 hingga 1992, termasuk membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia pada 1992.

Pada masa yang sama, beliau juga pernah melatih pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2012 hingga 2013.

Menurut laporan BH Online, jika bersama Sri Pahang, pengalaman yang dimiliki oleh Fandi Ahmad itu diharap mampu untuk meletakkan skuad itu pada prestasi terbaik.

Dalam saingan Liga Super musim ini, selepas mengharungi 11 perlawanan, Sri Pahang terperosok di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengutip lapan mata.

Dengan prestasi hambar yang dipersembahkan itu, atas persetujuan bersama, Gamel tidak meneruskan tugasnya pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan