Skip to main content

Sukan

FAM sifatkan keputusan CAS terhadap 7 pemain warisan tidak seimbang

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpandangan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan kelihatan tidak seimbang walaupun badan induk itu menghormati bidang kuasa tribunal sukan tertinggi dunia berkenaan.
Anggaran Waktu Membaca:
FAM sifatkan keputusan CAS terhadap 7 pemain warisan tidak seimbang
Logo Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, Malaysia pada 28 Januari 2026. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Mar 2026 05:52PM
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpandangan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan kelihatan tidak seimbang walaupun badan induk itu menghormati bidang kuasa tribunal sukan tertinggi dunia berkenaan.

FAM memaklumkan bahawa ia sudah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan CAS berhubung rayuan yang difailkan oleh badan induk itu serta tujuh pemain terbabit.

“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun berpandangan bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS.

"FAM akan menilai perkara ini dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh," menurut kenyataan FAM pada Jumaat (6 Mac).

FAM memaklumkan alasan penuh bagi keputusan berkenaan masih belum dikeluarkan dan sebarang ulasan lanjut berhubung merit keputusan itu hanya akan dibuat selepas butiran lengkap diperoleh dan diteliti.

Menurut badan induk itu, sepanjang prosiding berkenaan, FAM sudah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyeliaan yang berlaku dalam proses berkaitan kes tersebut.

Pada masa yang sama, FAM memaklumkan siasatan oleh agensi kerajaan serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih berjalan dan badan induk itu akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, FAM turut menyifatkan keputusan terbabit sebagai sesuatu yang mengecewakan, khususnya kepada pemain-pemain terlibat.

"Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran. Para pemain adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap FIFA berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan, panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta atau S$580,000) ke atas FAM berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita