Skip to main content

Sukan

Faiz Basha antara atlet Team Singapore bersaing di Sukan Musim Sejuk Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Faiz Basha antara atlet Team Singapore bersaing di Sukan Musim Sejuk Asia

Pemain ski 'alpine' sulung bagi Team Singapore, Faiz Basha. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 Feb 2025 11:53PM
HARBIN: Persaingan sedang rancak di Sukan Musim Sejuk Asia di Harbin, timur laut China dan yang menjadi tumpuan bukan sahaja para peserta dari kuasa-kuasa besar sukan musim sejuk, tetapi mereka yang berasal daripada negara-negara tanpa salji.

Sekitar dua pertiga daripada jumlah rekod - 35 delegasi - pada temasya tahun ini adalah dari negara-negara beriklim tropika dan padang pasir, termasuk Singapura, Arab Saudi dan Kemboja.

Antara peserta dari Singapura ialah pemain ski 'alpine' Faiz Basha, yang sebelum temasya sukan itu, berlatih selama berjam-jam dalam hujan monsun Singapura - persekitaran alternatif terbaik yang boleh digunakannya untuk berlatih.

"Ini adalah satu-satunya cara saya boleh mengekalkan tahap prestasi saya. Saya menyedari bahawa jika saya tidak akan bermain ski selama dua tahun, saya akan kehilangan banyak keupayaan," katanya kepada Mediacorp, sambil merujuk kepada Perkhidmatan Negara (NS) di mana dia tidak boleh pergi ke luar negara untuk berlatih di kawasan pergunungan.
Atlet berusia 22 tahun itu menjadi pemain ski 'alpine' pertama Singapura pada 2021, dan mewakili negara di temasya itu yang bermula minggu lalu.

MENJADI ATLET SKI ALPINE

Faiz mula berjinak-jinak dengan sukan itu semasa membesar di Switzerland dan bersaing dalam kejohanan antarabangsa untuk menimba pengalaman.

Jurulatihnya menggalakkannya untuk menumpukan perhatian pada Sukan Olimpik berdasarkan kemahirannya, katanya lagi.

“Saya selalu menerima banyak soalan seperti ‘bagaimana anda berlatih?’ Bagaimana anda melakukan semua ini sedangkan anda tahu Singapura tidak mempunyai cerun langsung?’,” katanya selanjutnya.

"Tetapi bagi saya, saya merasakannya sebagai satu kebanggaan walaupun kita tidak mempunyai semua kemudahan ini, saya masih berupaya mencapai tahap yang saya capai."

Sejak menamatkan NS dua tahun lalu, Faiz telah berlatih sebaik mungkin, yang telah meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk bersaing dengan para atlet Asia yang lain, katanya.

“Saya tidak fikir tahap saya kompetitif seperti di Eropah. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan,” tambahnya.

Buat masa ini, Faiz sedang belajar bidang kejuruteraan mekanikal di Scotland, di mana dia memperoleh biasiswa sukan dua tahun lalu, yang membolehkannya berada lebih dekat dengan cerun-cerun di Eropah.

Faiz menduduki tempat ke-12 dalam kategori Slalom Lelaki pada Ahad (9 Feb) daripada 58 atlet yang bertanding, menjadikannya pesaing utama dari Asia Tenggara dalam acara itu.

Presiden China Xi Jinping, yang merasmikan temasya tersebut di Harbin, menyeru agar Asia bekerjasama dalam membangunkan sukan musim sejuk di rantau ini. Ini supaya negara-negara di Asia dapat bersaing dalam sukan yang sejak sekian lama didominasi oleh negara-negara Barat.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita