F1 lakar rancangan sekiranya perlumbaan Qatar, Abu Dhabi dibatal akibat konflik Timur Tengah
Formula One mempunyai pelan untuk memastikan perlumbaan musim ini tetap berlangsung sekiranya perlumbaan penutup musim di Qatar dan Abu Dhabi terjejas akibat konflik di Timur Tengah, kata ketua pegawai eksekutif Stefano Domenicali, pada Selasa (1 Jul).
Penasihat eksekutif Alpine Flavio Briatore dan ketua pegawai eksekutif Formula One Group Stefano Domenicali tiba sebelum perlumbaan Grand Prix Formula One Arab Saudi di Jeddah pada 20 April 2025. (Gambar: REUTERS/Jakub Porzycki)
Beliau menegaskan pihaknya tidak bimbang mengenai timbulnya isu pembatalan perlumbaan buat masa ini.
Qatar dijadualkan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir kejohanan tersebut pada 30 November manakala Yas Marina di Abu Dhabi, pada 7 Disember, akan menjadi lokasi penentu kejohanan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Iran bertindak balas terhadap pelibatan Amerika Syarikat dalam perang udara Israel selama 12 hari ke atas Iran bulan lalu dengan melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan udara Amerika Syarikat di Qatar, yang terletak di seberang Teluk dari Iran.
Encik Domenicali berkata Formula One sentiasa berhubung dengan penganjur di Timur Tengah, yang menurutnya masih tenang, dan memantau keadaan dengan rapi.
"Bagi membuat kenyataan tentang perkara ini adalah sangat sukar," katanya apabila ditanya sama ada terdapat risiko sebenar perlumbaan dibatalkan.
"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang isyarat seperti itu, jadi kami berharap ia tidak berlaku. Saya tidak mahu memikirkannya, terutama sekali kerana gambaran yang lebih besar, bukan semata-mata untuk perlumbaan... dan semestinya jika berlaku sesuatu, kami ada pelan."
Qatar dan Abu Dhabi adalah dua perlumbaan terakhir dalam rangkaian tiga hujung minggu berturut-turut yang bermula di Las Vegas pada 22 November, dengan kereta-kereta diterbangkan terus ke Timur Tengah selepas itu.
Walaupun keadaan cuaca pada bulan Disember akan menyukarkan penganjuran perlumbaan gantian di sesetengah litar Eropah, terdapat pilihan di lokasi yang lebih panas seperti Litar Algarve di Portugal, yang pernah digunakan semasa pandemik COVID-19.
"Eropah itu besar, suhu agak sederhana di sesetengah kawasan," kata Encik Domenicali, yang bersetuju bahawa satu litar berkemungkinan menganjurkan kedua-dua perlumbaan.
"Sudah tentu kita tidak akan ke tempat yang bersalji.
"Tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak mahu fikirkan perkara itu.
"Kami langsung tidak bimbang ia akan memberi kesan kepada kejohanan."
Formula One pernah mengadakan perlumbaan di Arab Saudi pada 2022 walaupun terdapat serangan oleh puak Houthi dari Yaman ke atas sebuah kemudahan minyak berdekatan dengan litar jalanan Jeddah.
Encik Domenicali berkata bahawa Formula One tetap diteruskan pada ketika itu kerana keselamatan mereka dijamin, namun mengakui keadaan boleh berubah dengan pantas.
"Kita hanya perlu sentiasa bersedia dan memantau keadaan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.