Skip to main content

Sukan

England belasah Montenegro 7-0; sah tiket pusingan akhir Euro 2020

Pengurus England, Gareth Southgate gembira dengan ketangkasan pasukan bimbingannya yang membelasah Montenegro 7-0, sekali gus melangkah ke pusingan akhir Euro 2020 dengan bergaya pada perlawanan ke-1,000 Three Lions.

Anggaran Waktu Membaca:
England belasah Montenegro 7-0; sah tiket pusingan akhir Euro 2020

Harry Kane. (Gambar: Adrian DENNIS/AFP)

Diterbitkan : 15 Nov 2019 01:03PM Dikemas Kini : 15 Nov 2019 01:08PM

LONDON: Pengurus England, Gareth Southgate gembira dengan ketangkasan pasukan bimbingannya yang membelasah Montenegro 7-0, sekali gus melangkah ke pusingan akhir Euro 2020 dengan bergaya pada perlawanan ke-1,000 Three Lions.

Sekali pun tanpa Raheem Sterling, yang diketepikan Gareth Southgate awal minggu ini menyusuli pergaduhan dengan rakan sepasukan, Joe Gomez, persembahan yang ditampilkan England meletakkan mereka antara calon yang menjulang trofi Kejuaraan Eropah tahun depan.

Penyerang Tottenham, Harry Kane mendaki ke tangga keenam senarai penjaring terbanyak England selepas menjaringkan 'hat-trick' pada babak pertama yang melonjakkan jumlah jaringannya bagi kempen kelayakan kepada 11 gol dalam tujuh perlawanan.

Sementara itu, jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain, Marcus Rashford dan Aleksandar Sofranac serta gol pertama Tammy Abraham dalam arena antarabangsa melengkapkan jumlah jaringan ketika England mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A dengan rekod 33 gol dalam tujuh perlawanan.

“Sebelum ini kami mungkin bergelut menentang pasukan di ranking bawahan yang bertahan menggunakan ramai pemain, tetapi kami memiliki pemain yang boleh mencabar pasukan itu dengan corak permainan yang boleh melakukannya,” kata Southgate.

“Kami sudah layak dan melakukannya secara 'bersih'.”

Selepas mengharungi kontroversi yang tidak dijangka pada minggu ini dengan tindakan Southgate mendedahkan hukuman terhadap Sterling kepada umum dikritik, kemenangan yang bergaya itu jelas satu kelegaan.

“Mutu permainan menyerang kami cemerlang,” kata Southgate. "Kami memang dijangka akan memenangi peringkat kumpulan tetapi kami jelas mengucar-kacirkan pasukan lawan.”

Meskipun demikian, timbul sesuatu yang kurang enak di sebalik persembahan hebat England apabila pertahanan Liverpool, Gomez diejek segelintir 77,000 penyokong ketika dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat perlawanan.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita