Elanga selamatkan Man Utd dari ambang kekalahan
Gambar: OSCAR DEL POZO / AFP
MADRID: Pemain muda Manchester United, Anthony Elanga memberi pasukannya harapan selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi tadi (24 Feb).
Kesilapan Harry Maguire mengawal Joao Felix pada minit ketujuh memberi peluang kepada penyerang muda Portugal itu untuk menanduk masuk hantaran lintang Renan Lodi ke gawang gol.
Sime Vrsaljko hampir-hampir meletakkan Atletico di depan tetapi malangnya bola melantun dari palang gol.
Strategi pengurus Manchester United, Ralf Rangnick untuk perlawanan genting itu kelihatan kucar-kacir lebih-lebih lagi setelah menggantikan dua pemain pertahanannya dalam babak kedua.
Mujur, kemasukan Elanga pada minit ke-75 berhasil mengubah nasib United.
Pemain berusia 19 tahun itu berjaya memecahkan kebuntuan pasukannya dengan membolosi gawang Jan Oblak pada minit ke-80.
Jaringan itu juga merupakan sentuhan pertamanya selepas menggantikan penyerang England, Marcus Rashford.
Pada awal bulan ini, Elanga gagal menyempurnakan tendangan penalti yang menyebabkan pasukannya tersingkir daripada Piala FA.
Pasukan tuan rumah Atletico Madrid juga gagal memanfaatkan peluang gol untuk melebarkan jurang dengan United.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam perlawanan kedua di Old Trafford pada bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.