Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ejen salah tanda kotak dalam borang isytihar perjalanan di Australia, jelas Novak Djokovic

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen salah tanda kotak dalam borang isytihar perjalanan di Australia, jelas Novak Djokovic

Daniil Medvedev tewaskan Novak Djokovic. (Gambar: Valery Hache/AFP)

Diterbitkan : 12 Jan 2022 06:26PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 06:26PM

MELBOURNE: Jaguh tenis, Novak Djokovic, mengeluarkan satu kenyataan panjang hari ini (12 Jan) untuk memberi butiran mengapa beliau tidak diasingkan selepas diuji positif COVID-19 pada Disember.

Djokovic berkata ejennya membuat satu kesilapan apabila mengisi borang pengisytiharan perjalanan Australia untuk beliau, lapor Reuters.

Kenyataan tersebut dibuat ketika Menteri Imigresen Australia Alex Hawke menimbangkan sama ada untuk membatalkan visa pemain tenis nombor satu dunia itu menjelang Kejohanan Terbuka Australia, yang bermula pada 17 Januari. Ia berlaku di tengah-tengah kontroversi tentang sama ada Djokovic layak bagi pengecualian perubatan daripada peraturan vaksin COVID-19 Australia

"Saya mahu menekankan bahawa saya sudah sedaya upaya memastikan keselamatan setiap orang dan mematuhi kewajipan ujian," menurut Reuters, memetik kenyataan Djokovic di akaun media sosialnya.

Di tengah-tengah persoalan mengenai pengisytiharan perjalanan Australia Djokovic, di mana beliau perlu menyatakan sama ada beliau sudah membuat sebarang perjalanan dalam tempoh 14 hari sebelum masuk ke Australia, beliau berkata ejennya secara tidak sengaja menandakan kotak yang salah dalam borang itu.

"Tentang isu pengsytiharan perjalanan saya, ini diserahkan oleh pasukan sokongan saya bagi pihak saya - seperti yang saya beritahu para pegawai imigresen sewaktu ketibaan saya - dan ejen saya secara ikhlas meminta maaf atas kesilapan pentadbiran dalam menandakan kotak yang salah tentang perjalanan saya sebelum datang ke Australia," jelas Djokovic.

"Ini adalah kesilapan manusia dan pastinya tidak disengajakan. Kita hidup dalam waktu mencabar dalam sebuah pandemik global dan kadangkala kesilapan sebegini boleh berlaku.

"Hari ini, pasukan saya memberikan maklumat tambahan kepada pemerintah Australia untuk memperjelaskan perkara ini."

HADIRI TEMU BUAL SELEPAS DIUJI POSITIF

Dalam satu catatan Facebook, lapor Reuters, Djokovic berkata beliau menghadiri satu perlawanan bola keranjang di Belgrade pada 14 Disember. Selepas itu, beberapa orang dilaporkan diuji positif COVID-19.

"Walaupun tiada gejala COVID-19, saya mengambil ujian pantas antigen (ART) pada 16 Disember yang menunjukkan keputusan negatif dan atas sikap amat berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian PCR (tindak balas rantaian polimerase) rasmi serta yang diluluskan pada hari yang sama," ujarnya.

Beliau menghadiri satu acara tenis di Belgrade untuk menyampaikan anugerah kepada kanak-kanak dan mengambil ujian ART sebelum pergi ke acara tersebut. Keputusan ujian itu kembali negatif.

"Saya tidak bergejala dan berasa sihat. Saya tidak menerima makluman tentang keputusan ujian positif PCR sehinggalah selepas acara tersebut," tambahnya.

Pada keesokan harinya, Djokovic pergi ke pusat tenisnya di Belgrade untuk "memenuhi satu komitmen yang sudah lama diaturkan bagi satu temu bual bersama L’Equipe dan sesi bergambar".

"Saya membatalkan semua acara lain kecuali temu bual L’Equipe," katanya.

"Saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan temu bual L’Equipe kerana saya tidak mahu menghampakan wartawan tetapi saya memastikan saya berada pada jarak sosial dan memakai pelitup kecuali apabila gambar saya dipetik."

Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa