Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dr Luqman Aziz tunjang Pencak Silat S'pura; persiap pasukan negara jelang kejohanan dunia

Apabila berbicara soal sukan, lazim, atlit dan jurulatih menjadi subjek utama. Padahal, mereka turut didukung oleh kerabat lain yang sama penting dalam membantu mencatur rentak dan corak permainan sesebuah pasukan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Luqman Aziz tunjang Pencak Silat S'pura; persiap pasukan negara jelang kejohanan dunia

Ahli biomekanik sukan di Institut Sukan Singapura, Dr Luqman Aziz. (kanan) (Gambar: MCCY/Facebook)

Diterbitkan : 27 Oct 2021 09:14PM Dikemas Kini : 27 Oct 2021 09:16PM

SINGAPURA: Apabila berbicara soal sukan, lazim, atlit dan jurulatih menjadi subjek utama. Padahal, mereka turut didukung oleh kerabat lain yang sama penting dalam membantu mencatur rentak dan corak permainan sesebuah pasukan negara.

Bagi pasukan Pencak Silat Singapura, Dr Luqman Aziz, boleh dianggap sebagai tulang belakang mereka. Ahli biomekanik sukan di Institut Sukan Singapura itu lewat kebelakangan ini banyak meluangkan masa mempersiapkan pasukan pencak silat negara bagi kejohanan dunia yang bakal menjelang pada hujung tahun ini.

Seorang ahli biomekanik secara amnya mempelajari pergerakan manusia atau benda hidup. Sebagai ahli biomekanik sukan pula, Dr Luqman berusaha untuk mempertingkatkan prestasi atlit dan mengurangkan risiko kecederaan.

Ahli biomekanik sukan di Institut Sukan Singapura, Dr Luqman Aziz. (Gambar: MCCY/Facebook)

(Gambar: MCCY/Facebook)

Matlamat ini dicapai dengan menganalisis pergerakan berdasarkan struktur tubuh atlit, kekuatan serta kemahiran mereka.
Dari situ, beliau merangka program latihan dan bekerjasama dengan jurulatih untuk melaksanakannya ke atas para atlit.

Menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Dr Luqman giat terlibat dalam mencarta hala tuju kajian bagi sukan selama enam tahun, yang boleh melakar cara bagaimana pasukan tersebut berlatih. Tumpuan terkininya adalah dalam "kemahiran motor persepsi pandang". Dalam istilah silat, ia merujuk kepada bagaimana seseorang pesilat mengamati serangan pihak lawan dan memberikan tindak balas secara berkesan.

Bagi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang melabuhkan tirainya pada Ogos lalu, Dr Luqman mencurahkan kepakarannya kepada pasukan lawan pedang. Menurut MCCY, beliau menjalankan analisis prestasi, menawarkan statistik bagi pasukan itu serta menawarkan pendekatan baru bagi menentang pihak lawan dan taktik mereka.

"Anda tidak boleh membataskan diri anda menjadi seorang ahli biomekanik," ujar Dr Luqman. "Anda perlu menjadi saintis sukan, seorang jurulatih dan seorang kawan."

Ternyata, komitmen Dr Luqman kepada para atlit di bawah jagaannya melangkaui sekadar seorang ahli biomekanik sukan.

Beliau bahkan menjalin persahabatan dengan atlit, sebagai contoh, bersama seorang pesilat yang perlu menurunkan berat badannya untuk melayakkan diri bagi kategori berat badan yang lebih rendah.

Sepanjang tempoh sembilan bulan, Dr Luqman menemani pesilat berkenaan berlari, berlatih di gim dan malah, masuk sama ke dalam bilik sauna sebelum tiba hari menimbang berat badan.

"Dr Luqman, seperti kebanyakan rakan sekerjanya, adalah sebahagian daripada sistem sokongan kukuh bagi atlit kita kerana mereka gigih bekerja untuk meletakkan Singapura di persada dunia," menurut MCCY.

"Sedang kita meraikan kemenangan dan pencapaian mereka (atlit), marilah juga kita merakamkan penghargaan kita kepada pasukan di balik tabir Team Singapore yang telah memungkinkannya!," tambah kementerian itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan