Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Djokovic dakwa ‘diracun’ semasa ditahan di Melbourne pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Djokovic dakwa ‘diracun’ semasa ditahan di Melbourne pada 2022

Novak Djokovic cipta sejarah jadi pemain lelaki pertama menang 23 Grand Slam. (Gambar: Thibault Camus/AP)

Diterbitkan : 10 Jan 2025 10:38AM Dikemas Kini : 10 Jan 2025 10:39AM
PARIS: Pemain tenis terkenal antarabangsa, Novak Djokovic mendakwa, dia telah "diracun" melalui makanan yang disajikan kepadanya ketika ditahan semasa kontroversi visanya semasa menyertai Kejohanan Terbuka Australia 2022, menurut wawancara dengan GQ yang diterbitkan pada Khamis (9 Jan).

Pemenang 24 gelaran Grand Slam yang berasal dari Serbia itu turut mendakwa, visanya telah dibatalkan sebelum kejohanan selepas beberapa hari insiden mengenai peraturan kemasukan COVID-19 Australia dan statusnya yang tidak divaksin.

Kata Djokovis, dia ditahan di sebuah hotel di Melbourne yang turut didiami oleh pencari suaka.

"Saya sedar bahawa di hotel di Melbourne itu, saya diberi makanan yang mempunyai racun," kata Djokovic, yang terkenal dengan pemantauan ketat terhadap dietnya.

"Saya menemui beberapa fakta selepas kembali ke Serbia. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa perkara ini secara terbuka, tetapi saya dapati tahap logam berat dalam badan saya sangat tinggi. Logam berat seperti plumbum dan raksa berada pada tahap yang sangat tinggi."

GQ melaporkan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia enggan mengulas perkara tersebut atas alasan dakwaan itu bersifat peribadi.

Djokovic turut memberitahu akhbar Herald Sun Melbourne minggu ini, dia masih mengalami trauma akibat pengalaman tersebut tiga tahun lalu dan berasa tertekan apabila tiba di lapangan terbang di bandar itu.

Namun, dia menegaskan tidak menyimpan "sebarang dendam terhadap rakyat Australia".

"Ramai orang Australia yang saya temui di Australia atau di tempat lain di dunia, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah datang kepada saya, meminta maaf kepada saya atas layanan yang saya terima kerana mereka malu dengan kerajaan mereka sendiri pada ketika itu," katanya..

"Dan saya rasa kerajaan telah berubah, dan mereka mengembalikan visa saya, dan saya sangat berterima kasih."

Pemain berusia 37 tahun itu akan memulakan kempen untuk mencatat rekod gelaran Grand Slam ke-25 pada Terbuka Australia minggu depan.
Sumber : Agensi berita/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan