Skip to main content

Sukan

Diogo Jota disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wolves

Bekas penyerang Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva di Sepanyol pada 3 Julai lalu, disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran kelab itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diogo Jota disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wolves

Pemain Portugal, Diogo Jota, sebelum perlawanan Scotland menentang Portugal pada 15 Oktober 2024. (Gambar fail: Action Images melalui REUTERS/Lee Smith)

Diterbitkan : 18 Jul 2025 02:44PM
LONDON: Bekas penyerang Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva di Sepanyol pada 3 Julai lalu, disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran kelab itu.

Pemain antarabangsa Portugal berusia 28 tahun itu, yang baru menjuarai Liga Perdana England bersama Liverpool, memulakan kerjaya bola sepaknya di England di Stadium Molineux, yang juga tuan rumah Wolverhampton Wanderers, dengan menjaringkan 44 gol dalam 131 penampilan dari 2017 hingga 2020.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada kelab itu, Wolves mengiktiraf Jota dengan menyenaraikannya dalam Dewan Kemasyhuran, yang dikendalikan secara bebas oleh sebuah jawatankuasa.

“Tragedi ini amat menyedihkan dan sukar dipercayai, maka kami ingin memberi penghormatan ini secepat mungkin,” kata Pengerusi Dewan Kemasyhuran Wolves merangkap Naib Presiden kelab, John Richards di laman rasmi kelab tersebut.

“Seperti orang lain, kami amat terkejut dengan kejadian ini, dan kami mengenang kembali betapa hebatnya Jota sebagai pemain Wolves, terutama semasa musim promosi yang tidak dapat dilupakan di bawah bimbingan Nuno serta awal kemunculan semula kami dalam Liga Perdana.

“Rekodnya - 44 gol bersama Wolves dan kemudian 65 gol bersama Liverpool sambil menjuarai Liga Perdana - menceritakan segalanya.

"Ramai peminat di seluruh dunia, terutama di Portugal selepas beliau membantu pasukan itu menjuarai Liga Negara-Negara musim panas ini, benar-benar merasai kehilangannya.

"Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menangguhkan keputusan ini.

“Kami berharap penghormatan ini dapat sedikit sebanyak mengubat kesedihan keluarga dan sahabat Diogo dan Andre, dan kami percaya penyokong Wolves faham bahawa penghormatan ini dibuat dengan penuh kasih sayang, kekaguman dan pengimbangan yang wajar.”

Kelab Wolves turut merancang untuk memperingati Jota dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri menentang Celta Vigo, serta menentang Manchester City pada perlawanan pembukaan musim baharu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita