Di Maria menyerlah, Messi cedera sedang PSG kalahkan Lille 2-1
Angel Di Maria membuktikan nilai dirinya selepas membantu menjaringkan gol pertama dan mencatat gol terakhir sekaligus memberi kemenangan 2-1 kepada Paris St Germain ketika menentang juara bertahan Lille dalam perlawanan Ligue 1 pada Jumaat (29 Okt).

Angel Di Maria menyambut gol kemenangannya. (Gambar: AFP)
PARIS: Angel Di Maria membuktikan nilai dirinya selepas membantu menjaringkan gol pertama dan mencatat gol terakhir sekaligus memberi kemenangan 2-1 kepada Paris St Germain ketika menentang juara bertahan Lille dalam perlawanan Ligue 1 pada Jumaat (29 Okt).
Sementara itu, Lionel Messi pula terpaksa keluar padang selepas mengalami kecederaan, lapor Reuters.
Tanpa Kylian Mbappe yang tidak beraksi kerana mengalami masalah jangkitan, Di Maria menyerlah sepanjang perlawanan itu.
Manakan tidak, dia awalnya membalas gol pembukaan Jonathan David sebelum membolosi gawang dua minit sebelum perlawanan berakhir.
Meskipun Messi keluar padang pada awal separuh kedua disebabkan masalah otot, pemain sayap warga Argentina itu mencatat prestasi cemerlang untuk melanjutkan lagi jarak PSG yang kini mendahului kedudukan dengan 31 mata selepas 12 perlawanan, 10 di depan RC Lens yang menyusul di tempat kedua.
Lille pula, yang kalah walaupun menunjukkan persembahan mengagumkan pada separuh pertama, kini di tangga ke-11 dengan 15 mata.
Pada minit ke-31, Lille membuka tirai perlawanan selepas David menyempurnakan hantaran Yilmaz untuk menjaringkan gol pertama.
Reuters melaporkan Lille hampir menggandakan gol tetapi percubaan David berjaya dinafikan oleh Donnarumma.
Namun sebaliknya, pada minit ke-74, Di Maria pula membuat hantaran hebat ke Marquinhos yang berjaya menjadikan perlawanan seri 1-1.
Bintang malam itu kemudian membenamkan Lille selepas dengan mudahnya menyumbat lagi satu gol dari dalam kotak penalti, mengakhiri perlawanan 2-1.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.