Delegasi Iran pilih untuk patah balik selepas disoal siasat di lapangan terbang Kanada
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran Mehdi Taj berkata pihak berkuasa Kanada membenarkannya untuk memasuki negara itu bagi menghadiri Kongres FIFA, namun delegasi Iran memilih untuk berpatah balik selepas ditahan selama tiga jam dan disoal siasat di sebuah lapangan terbang di Toronto, menurut laporan media Iran pada Jumaat (1 Mei).
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran Mehdi Taj dan Datuk Bandar Tehran Alireza Zakani berdiri di sebelah Trofi Piala Dunia FIFA semasa majlis pelancarannya di Tehran, Iran pada 1 September 2022. (Gambar fail: REUTERS/Majid Asgaripour/WANA)
Encik Taj, bekas anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), berkata beliau disoal pihak imigresen Kanada mengenai hubungannya dengan kumpulan tersebut, namun akhirnya dibenarkan memasuki negara itu bagi menghadiri sebuah perhimpunan menjelang Piala Dunia FIFA di Vancouver.
Pihak berkuasa Kanada sebelum ini menyatakan bahawa anggota IRGC dilarang memasuki negara itu, yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA mulai Jun bersama Amerika Syarikat dan Mexico.
“Kami semua mempunyai visa dan turut diperiksa di Turki. Mereka memberitahu kami bahawa mereka mempunyai beberapa soalan untuk anda dan bertanya sama ada kami merupakan anggota IRGC,” menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, yang memetik Encik Taj.
“Kami memberitahu mereka bahawa terdapat 90 juta anggota IRGC di Iran. Mereka berkata mereka tidak membenarkan para anggota pertubuhan itu masuk. Mereka berkata itu merupakan undang-undang negara mereka.
“Selepas beberapa ketika, mereka berkata anda boleh masuk tetapi kami memutuskan untuk pulang. Mereka tidak mengusir kami dan kami sendiri yang memutuskan untuk pulang ... Saya memberitahu pihak Kanada bahawa anda menahan kami di lapangan terbang selama tiga jam dan membuat kami menunggu tanpa sebab,” kata beliau.
Reuters sudah menghubungi agensi Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada, yang mengeluarkan visa perjalanan ke negara tersebut, untuk mendapatkan komen.
Encik Taj berkata presiden FIFA Gianni Infantino menawarkan untuk menghantar jet bagi membawa delegasi Iran ke Kanada selepas mereka kembali ke Turki, namun tawaran itu ditolak.
“Saya memberitahu Setiausaha Agung FIFA (Mattias Grafstrom) bahawa anda gentar terhadap Amerika dan anda hanya berkata ‘ya tuan’ kepada apa sahaja yang mereka katakan,” kata beliau.
Reuters juga sudah menghubungi FIFA untuk mendapatkan komen.
Encik Infantino pada Khamis menegaskan bahawa Iran akan tetap bermain dalam perlawanan Piala Dunia FIFA di Amerika Syarikat, meskipun terdapat ketegangan antara kedua-dua negara sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada Februari lalu. FIFA sebelum ini menolak permintaan Tehran agar lokasi alternatif disediakan bagi perlawanan-perlawanan yang diadakan di Amerika Syarikat.
“Kami perlu mengadakan pertemuan dengan para pegawai FIFA untuk memastikan bahawa jika kami hadir ke Piala Dunia, tidak akan timbul sebarang isu sampingan dan kontroversi melibatkan pasukan kami,” kata Encik Taj mengenai penyertaan Iran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.