Skip to main content

Sukan

Decathlon Singapore Lab dibuka 24 jam; manfaat teknologi baru galak orang ramai bersukan

Dengan kehidupan harian yang serba sibuk, semakin ramai rakyat Singapura didapati beriadah dan bersukan pada sebelah malam.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jan 2019 12:35AM Dikemas Kini : 19 Jan 2019 11:37PM

SINGAPURA: Dengan kehidupan harian yang serba sibuk, semakin ramai rakyat Singapura didapati beriadah dan bersukan pada sebelah malam.

Ini lebih-lebih lagi kerana terdapat pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal dan gimnasium yang beroperasi sehingga lewat malam.

Sejajar dengan trend tersebut, gedung barangan dan peralatan sukan terkemuka di dunia, Decathlon kini menyediakan khidmat 24 jam di cawangan terbesarnya di Singapura yang juga merupakan cawangan terbaru bagi syarikat yang berpangkalan di Perancis itu.

Related article image

Bengkel basikal juga disediakan di cawangan tersebut. (Gambar: Decathlon)

“24 jam ini bagus sebab kalau kita tidak mahu datang pada waktu sibuk, kita boleh datang tengah malam. Dengan ini, kita ada lebih banyak masa untuk membeli-belah,” kata Cik Yati, 48 tahun yang sering ke cawangan Decathlon di Chai Chee dan Joo Koon untuk meluangkan masa bersama suami dan kedua-dua anaknya.

Cawangan terbaru yang ditempatkan di Stadium Boulevard itu membuka pintunya secara rasmi pada Sabtu (19 Jan).

Dinamakan Decathlon Singapore Lab, ia bukan saja menawarkan pakaian dan peralatan sukan tetapi juga pelbagai kemudahan untuk bersukan. Malah, ia percuma dan boleh digunakan pada bila-bila masa saja.

Cawangan seluas 5,000 meter persegi itu turut menawarkan persekitaran yang unik dan inovatif, khususnya bagi para peminat sukan dan mereka yang gemar beriadah dan bersukan, sekaligus memenuhi visi syarikat berkenaan yang mahu menggalak lebih ramai orang bergiat dalam sukan.

“Terdapat sekitaran yang merangsangkan di sini di mana ramai rakyat Singapura giat (bersukan). Ia peluang baik bagi kami untuk membuka cawangan di sini dan terus menjadikan sukan sebagai sesuatu yang boleh diakses orang ramai,” kongsi Pemimpin Cawangan Decathlon Singapore Lab, Nathaniel Gregory.

GALAK GAYA HIDUP SIHAT

Selain gelanggang bola keranjang, bola sepak dan sudut serba guna, cawangan Decathlon yang keenam di Singapura itu turut menempatkan Makmal Kesihatan Aktif atau Active Health Lab.

Related article image

Makmal Kesihatan Aktif hasil kerjasama dengan Sport Singapore. (Gambar: Decathlon)

Hasil kerjasama dengan Sport Singapore, para pengunjung juga berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk mengetahui tahap kecergasan masing-masing. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan tips gaya hidup sihat daripada para pakar yang bertugas di sana.

“Kami sangat berbesar hati kerana kerjasama ini merupakan strategi jangka panjang dan kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan lagi penyertaan dalam sukan dalam kalangan rakyat Singapura,” kata Encik Nathaniel yang sudah empat tahun bertugas di Decathlon.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa antara ciri-ciri menarik yang membezakan Decathlon Singapore Lab daripada cawangan-cawangan lain adalah ia menyediakan ruang untuk para pengunjung bersembang tentang sukan.

Related article image

Pelanggan boleh mencuba produk sebelum membelinya. (Gambar: Decathlon)

Para pengunjung juga boleh mendaftarkan diri dalam pelbagai program sukan seperti Boxercise, Zumba dan Yoga di Sudut Masyarakat atau Community Corner sambil berinteraksi antara satu sama lain.

Program-program sedemikian dianjurkan dari 11.00 pagi hingga 8.00 malam pada hari-hari biasa dan dari 9.00 pagi hingga 10.00 malam pada hujung minggu.

‘MAKMAL’ UNTUK MENCUBA

Bersesuaian dengan namanya, Decathlon Singapore Lab ibarat ‘makmal’ untuk mencuba kaedah pemasaran baru.

Percayakah anda bahawa cawangan terbaru ini sebenarnya tidak menyediakan kaunter-kaunter pembayaran yang dikendalikan oleh para kakitangannya?

Related article image

Salah satu daripada 13 kiosk layan diri yang boleh didapati di cawangan tersebut. (Gambar: Decathlon)

Sebaik saja anda berpuas hati dengan barangan yang ingin dibeli, anda boleh menuju terus ke kaunter layan diri dan membuat pembayaran.

“Saya berpendapat bahawa  kaunter layan diri ini sangat memudahkan kerana saya tidak perlu imbas barang-barangan yang dibeli. Ia amat mudah dan ringkas,” kata Encik Muhammad Syadiqin, 28 tahun yang mengunjungi cawangan tersebut bersama isterinya selepas mendapat tahu ia dibuka hari ini.

Apabila ditanya sama ada beliau khuatir sekiranya seseorang pengunjung dengan mudah boleh mengambil barangan tanpa membuat bayaran, Encik Nathaniel dengan yakin berkata bahawa pihak syarikat percaya sepenuhnya terhadap para pelanggan.

Lagipun, kaedah pembayaran sedemikian juga membolehkan para pekerjanya untuk meluangkan lebih banyak masa dengan para pengunjung sedang mereka mencuba produk atau mendapatkan nasihat tentang barangan atau peralatan sukan yang sesuai.

“Kami ingin bersama anda sepanjang perjalanan anda dalam sesuatu sukan dari pertama kali anda mencubanya mahupun selepas anda lebih giat melakukannya,” ujar beliau.

TEKNOLOGI INVENTORI ROBOTIK - SATU-SATUNYA DI DUNIA

Lebih menarik lagi, Decathlon Singapore Lab juga merupakan satu-satunya dalam kalangan lebih 1,400 cawangan di merata dunia yang memanfaatkan huraian robotik bagi menguruskan stok.

Related article image

Jika anda mengunjungi cawangan tersebut, anda mungkin dapat melihat sebuah robot berwarna putih yang mengelilingi seluruh kompleks itu untuk mengimbas tag RFID yang dipasang pada semua produk di sana.

Huraian inovatif itu berhasil mengurangkan masa dan tenaga pekerja untuk mengira dan menggantikan stok dalam cawangan tersebut, sekaligus membolehkan mereka untuk berinteraksi dan beramah mesra dengan para pengunjung.

Satu lagi ciri menarik adalah tali sawat penyampai atau ‘conveyor belt’ yang disediakan di bahagian belakang cawangan berkenaan.

Related article image
Cawangan Decathlon di Stadium Boulevard (Gambar: Decathlon)

Jaring putih di bahagian atas gambar adalah sebahagian daripada sistem tali sawat penyampai yang dimanfaatkan. (Gambar: Decathlon)

Ia digunakan untuk menghantar barangan yang dipesan secara online di decathlon.sg dengan lebih pantas dan cekap. Dengan memanfaatkan teknologi tersebut, produk-produk itu boleh dihantar kepada para pembeli dalam tempoh hanya dua jam saja, jamin Pemimpin Dialog Sosial Decathlon Singapore, Nurul Shamim.

“Decathlon Singapore Lab dilengkapi dengan banyak teknologi terkini seperti khidmat ‘Click and Collect’. Pelanggan boleh menempah produk-produk dari laman web kami dan mendapatkannya dalam masa dua jam saja,” kata beliau yang sudah dua tahun bekerja di syarikat tersebut.

Pokoknya, sama ada anda mencari barangan sukan atau bersukan di kemudahan-kemudahan yang disediakan ataupun hanya setakat ingin beriadah, Decathlon Singapore Lab tentu sekali dapat memenuhi keperluan anda.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita