Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dari juara sukan luncur air 'kite foil' hingga ke ratu pecut: Apakah yang boleh dijangkakan dari Kontinjen Team Singapore di Sukan Asia?

Anggaran Waktu Membaca:
Dari juara sukan luncur air 'kite foil' hingga ke ratu pecut: Apakah yang boleh dijangkakan dari Kontinjen Team Singapore di Sukan Asia?

(Dari kiri) Shanti Pereira, Jonathan Tan, Amita Berthier dan Maximilian Maeder akan mewakili Singapura di Sukan Asia ke-19. (Gambar: CNA/Jeremy Long, Singapore National Olympic Council, Formula Kite/Sailing Energy)

SINGAPURA: Selepas penantian selama lima tahun, Sukan Asia akhirnya kembali.

Ditangguhkan selama setahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, edisi-19 Sukan Asia akan berlangsung di Hangzhou, China.

Team Singapore akan menghantar kontinjen terbesarnya untuk bertanding di temasya sukan tersebut, dengan seramai 431 atlit negara bakal bertanding dalam 32 sukan.

Pada edisi terakhir temasya itu, Singapura merangkul empat pingat emas, empat perak dan 14 gangsa.

Sukan Asia akan membuka tirainya secara rasmi pada Sabtu (23 Sep). Mediacorp akan membawakan liputan terkini sepanjang tempoh Sukan Asia berlangsung.

Berikut adalah tiga perkara yang perlu diberikan perhatian:

1. 'PECUTAN TERAKHIR' SHANTI PEREIRA BAGI 2023

Menjelang Sukan Asia, atlit berusia 27 tahun itu berjaya mencatat masa terpantas oleh mana-mana atlit wanita dari Asia bagi acara 100 meter dan 200 meter.

Pada Mei lalu, beliau menjadi wanita Singapura yang pertama untuk memenangi kedua-dua acara 100 meter dan 200 meter dalam satu edisi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), dan diikuti dengan larian berganda di Kejohanan Atletik Asia pada Julai.

Pada bulan lalu di Budapest, Hungary, Pereira menjadi rakyat Singapura yang pertama untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara 200 meter. Beliau juga memenuhi kriteria kelayakan untuk acara itu bagi Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sukan Asia akan menjadi "pecutan terakhir" Pereira bagi tahun ini. Beliau malah, menyasarkan pingat dalam kedua-dua acara lari pecut.

Warga Singapura terakhir memenangi pingat emas dalam acara balapan dan padang ialah Chee Swee Lee (400m wanita) pada 1974. Adakah ini giliran Pereira untuk meraih pingat?

2. JUARA DUNIA TERBAHARU SG INTAI PRESTASI CEMERLANG

Meskipun hanya berusia 17 tahun, Maximilian Maeder sudahpun meraih pencapaian yang sungguh menakjubkan.

Ini terutama sekali dengan pencapaian terkini bagi atlit sukan luncur air 'kite foil' itu, iaitu pingat emas di Kejuaraan Dunia Sukan Layar di The Hague, Belanda, pada bulan lalu.
Pencapaian itu sekali gus bermakna Maeder turut menjamin kedudukan Singapura untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024. Remaja ini akan membuat penampilan sulungnya di Hangzhou.

Maeder kini menduduki tangga ketujuh dalam ranking dunia, iaitu kedudukan tertinggi bagi mana-mana atlit sukan luncur air 'kite foil'. Pada Julai lalu, dia memenangi pingat ketiganya berturut-turut dalam Kejuaraan Formula Kite Belia Dunia.

Mampukah beliau menambah pungutan pingat emas di Sukan Asia kepada pencapaiannya?

3. BAGAIMANA PASUKAN RENANG TANGANI PERUBAHAN?

Di Sukan Asia sebelumnya lima tahun yang lalu, sumbangan enam pingat oleh pasukan renang negara menjadikannya sukan yang paling banyak meraih pungutan pingat dalam kalangan atlit kontinjen negara.

Namun, pasukan itu sudah melalui banyak perubahan sejak itu.

Yang paling ketara ialah bekas juara Sukan Olimpik Joseph Schooling, yang meraih dua pingat emas (acara gaya kupu-kupu 50m dan 100m) di edisi lalu, tidak akan bertanding di Hangzhou.

Sungguhpun demikian, orang ramai boleh menantikan aksi perenang Jonathan Tan dalam acara gaya bebas lelaki 50 meter dan Mikkel Lee serta Teong Tzen Wei dalam acara gaya kupu-kupu 50 meter.

Di samping itu, perenang negara Letitia Sim akan membuat penampilan sulungnya di Sukan Asia. Perenang negara berusia 20 tahun itu sudahpun mencatat rekod nasional bagi acara kuak dada 50 meter, 100 meter dan 200 meter tahun ini.

Apakah kejutan lain yang boleh dijangkakan dari Team Singapore di Hangzhou?

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan