Cucu Muhammad Ali, Nico Ali Walsh menang pertarungan profesional pertama
Nico Ali Walsh, cucu legenda tinju dunia Muhammad Ali, membuktikan dia mewarisi kehebatan datuknya apabila mengalahkan Jordan Weeks dalam perlawanan tinju profesional pertamanya pada Sabtu (14 Ogos).

(Gambar: Getty Images)
REUTERS: Nico Ali Walsh, cucu legenda tinju dunia Muhammad Ali, membuktikan dia mewarisi kehebatan datuknya apabila mengalahkan Jordan Weeks dalam perlawanan tinju profesional pertamanya pada Sabtu (14 Ogos).
Petinju 'middleweight' itu merupakan anak kepada Robert Walsh dan Rasheda Ali Walsh, iaitu anak perempuan Muhammad Ali. Petinju berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak dengan Top Rank Boxing milik Bob Arum pada Jun menjelang pertarungan profesional pertamanya di Oklahoma, Amerika Syarikat.
Ali Walsh, yang memakai seluar pendek datuknya, Muhammad Ali, mengalahkan lawannya Weeks pada pertengahan pusingan pertama sebelum pengadil menghentikan perlawanan itu pada masa 1 minit 49 saat.
"Tentu sekali saya terkenangkan datuk saya. Saya sangat merinduinya. Ini adalah satu perjalanan penuh beremosi," kata Ali Walsh seperti dinukil ESPN.
"Saya rasa saya dan beliau (Weeks) melakarkan sejarah pada malam ini. Ia benar-benar memenuhi jangkaan saya."
Muhammad Ali yang diberi jolokan "The Greatest", meninggal dunia pada Jun 2016. Kehebatannya di dalam gelanggang menjadikan beliau antara salah satu tokoh paling berpengaruh dalam abad ke-20.
Ali Walsh, yang cuba mengikuti jejak langkah datuknya dalam sukan tinju profesional, berkata Muhammad Ali merupakan "petinju terhebat yang pernah ada di dunia".
"Ia kelihatan seakan banyak tekanan; namun bagi saya, beliau hanyalah datuk saya," kata Ali Walsh yang dibesarkan di Las Vegas.
"Beliau petinju paling hebat yang pernah ada di dunia - mungkin juga orang paling hebat," katanya.
"Saya tidak akan pernah memakai seluar ini lagi," tambahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.