Cristiano Ronaldo jaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Al-Hilal
Al-Nassr menang 3-1 ke atas Al-Hilal dalam Liga Profesional Arab Saudi semalam, setelah Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol pada babak kedua, termasuk satu sepakan penalti.

Cristiano beraksi di Kingdom Arena, Riyadh, Saudi Arabia, semasa perlawanan bola sepak antara pasukan Al-Nassr dan Al-Hilal, pada 4 April 2025. (Gambar: REUTERS/Stringer)
Dengan kemenangan tersebut, Al-Nassr kekal di tempat ketiga dengan 54 mata.
Pasukan itu kini ketinggalan tiga mata di belakang Al-Hilal di tempat kedua dan tujuh mata di belakang pendahulu, Al-Ittihad, yang bakal menentang Al-Ahli hari ini.
Al-Nassr membuka jaringan sebelum waktu rehat apabila Ali Al Hassan melancarkan rembatan yang melepasi penjaga gol Yassin Bono.
Ronaldo kemudian menjadikan kedudukan 2-0 dua minit selepas waktu rehat dengan satu rembatan tepat selepas menerima hantaran dari Sadio Mane.
Juara bertahan, Al-Hilal, cuba bangkit dengan melakukan serangan balas sebelum berjaya mengurangkan jurang pada minit ke-62 menerusi tandukan jarak dekat Ali Al Bulayhi, selepas sepakan sudut.
Namun, Ronaldo melengkapkan kemenangan untuk Al-Nassr dengan sepakan penalti pada minit ke-88, yang diberikan akibat 'handball' oleh pemain gantian Mouteb Al-Harbi selepas semakan VAR.
"Usaha sepasukan merupakan kunci kemenangan ini dan jaringan gol daripada saya itu penting, tetapi kemenangan adalah lebih penting," kata Ronaldo kepada SSC.
"Saya bekerja keras untuk membantu pasukan dalam SPL dan Liga Juara-Juara dan tidak memberi tumpuan kepada rekod individu," tambah pemain tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.