Skip to main content

Sukan

Conte mohon penyokong Spurs bersabar; perlu lebih masa perbaiki pasukan

Antonio Conte berharap para penyokong dapat bersabar dengan kelab Tottenham Hotspur menyusuli kemenangan pasukan itu dalam perlawanan sengit menentang Vitesse dalam Liga Europa.

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Antonio Conte berharap para penyokong dapat bersabar dengan kelab Tottenham Hotspur menyusuli kemenangan pasukan itu dalam perlawanan sengit menentang Vitesse dalam Liga Europa.

Ia juga merupakan perlawanan pertama yang dimenangi Tottenham di bawah pimpinan Conte sejak beliau mengambil alih sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Spurs muncul sebagai pemenang di Stadium Tottenham Hotspur dalam perlawanan pada awal pagi semalam (5 Nov) setelah melalui perlawanan yang sengit.

Kelab itu mendahului dengan tiga jaringan menerusi pemain Son Heung-min, Lucas Moura dan gol sendiri daripada Jacob Rasmussen dalam 30 minit pertama perlawanan.

Gol pembukaan Son bermakna pemain dari Korea Selatan itu sudah menjaringkan gol pertama bagi Tottenham di bawah pimpinan ketiga-tiga bos tetap terkini mereka.

Vitesse gagal menyempurnakan kebangkitannya setelah dua kad merah dilayangkan kepada Danilho Doekhi dan penjaga gol Markus Schubert di penghujung perlawanan.

Spurs akan kembali bertemu Everton dalam saingan Liga Perdana England (EPL) pada Ahad ini (7 Nov).

Conte pula memberi amaran ia akan mengambil masa untuk dia menerapkan falsafah permainannya ke dalam pasukan itu.

"Ia adalah perlawanan yang luar biasa. Biasanya saya tidak suka perlawanan jenis ini -- perlawanan gila bermakna apa-apa saja boleh berlaku. Tetapi pada masa yang sama, saya fikir kami harus menang dan kami menang," kata Conte kepada BT Sport.

"Kami menang 3-0 kemudian melepaskan dua gol yang boleh kami elakkan. Selepas kad merah, kami menghadapi masalah.

"Mereka perlu meningkatkan keyakinan mereka. Mereka perlu bekerja lebih keras. Masalahnya kami kena mencari masa untuk berlatih. Kami mempunyai dua hari untuk perlawanan seterusnya, kemudian ia adalah masa rehat bagi perlawanan antarabangsa.

"Yang pasti, kami kena memperbaiki mutu permainan. Ia bukan mudah kerana dalam dua hari kami bersedia untuk perlawanan [Vitesse] ini, kini kami hanya mempunyai satu hari. Esok adalah mustahil untuk berlatih dengan pemain yang beraksi dalam perlawanan pada malam ini," kata Conte.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita