Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Chelsea pecah rekod pikat Enzo Fernandez ke Stamford Bridge

Enzo Fernandez akhirnya melengkapkan perpindahan ke Chelsea, sekali gus menjadi pembelian termahal dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) selepas Chelsea menebus klausa pelepasan sebesar £106.8 juta daripada Benfica.

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Enzo Fernandez akhirnya melengkapkan perpindahan ke Chelsea, sekali gus menjadi pembelian termahal dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) selepas Chelsea menebus klausa pelepasan sebesar £106.8 juta daripada Benfica.

Fernandez, yang dinamakan pemain muda terbaik ketika membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022, sudah sekian lama dikaitkan dengan Chelsea sejak awal jendela perpindahan kali ini sebelum usaha berkenaan terhenti seketika.

Bagaimanapun, Chelsea kembali memperhebatkan usaha memikatnya dan akhirnya berhasil mendapatkan Fernandez pada hari terakhir jendela perpindahan -- dengan kontrak jangka panjang yang dilaporkan sehingga 2031 - di mana pengesahan berkenaan diumumkan selepas sejam setengah jendela perpindahan ditutup.

Chelsea menghantar segala kertas kerja yang relevan pada waktu yang ditetapkan dan Benfica terlebih dahulu mengumumkan kesepakatan berkenaan dalam laman web rasmi mereka.

Fernandez menyertai Benfica daripada River Plate pada tahun lalu dan segera memainkan peranan penting sejak perpindahan itu untuk membantu pasukan gergasi Portugal itu mendahului peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia kelihatan akan kekal di Lisbon sehingga hujung musim ini tetapi Chelsea mempergiatkan usaha untuk mendapatkannya, di mana pengurus pasukan, Graham Potter, berhasrat untuk memperkuatkan bahagian tengah Chelsea.

Yuran perpindahannya memecahkan rekod termahal dalam EPL, mengatasi perbelanjaan £100 juta yang dikeluarkan oleh Manchester City untuk mendapatkan Jack Grealish daripada Aston Villa pada 2021.

Fernandez berkemungkinan akan membuat penampilan sulung bersama Chelsea ketika menyambut Fulham di Stamford Bridge hujung minggu ini, di mana pasukan tuan rumah sedang berusaha untuk keluar daripada prestasi buruk mereka, yang kini menduduki tangga ke-10 EPL. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan