Skip to main content

Sukan

Casablanca bakal jadi hos perlawanan akhir Piala Dunia 2030: Ketua bola sepak Maghribi

Perlawanan akhir Piala Dunia 2030 akan diadakan di Casablanca, menurut Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi Fouzi Lekjaa.

Anggaran Waktu Membaca:
Casablanca bakal jadi hos perlawanan akhir Piala Dunia 2030: Ketua bola sepak Maghribi

Orang ramai berjalan melepasi replika trofi Piala Dunia FIFA menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Maghribi dengan Perancis di Casablanca, Maghribi, pada 9 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Amr Alfiky)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 08:42PM
  • Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi, Fouzi Lekjaa, mengumumkan Casablanca sebagai lokasi cadangan perlawanan akhir Piala Dunia 2030.
  • Stadium Hassan II di Benslimane sedang dibina dengan kapasiti 115,000 penonton dan dijangka menjadi stadium bola sepak terbesar dunia.
  • FIFA belum memutuskan lokasi rasmi perlawanan akhir, walaupun Maghribi dan Sepanyol bersaing untuk menjadi tuan rumah.
  • Piala Dunia 2030 akan dianjurkan di enam negara merentasi tiga benua, dengan tiga perlawanan pembukaan di Amerika Selatan dan selebihnya di Maghribi, Portugal, dan Sepanyol.
Dijana oleh AI
CASABLANCA: Perlawanan akhir Piala Dunia 2030 akan diadakan di Casablanca, menurut Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi Fouzi Lekjaa.

Agensi berita Sepanyol EFE melaporkan pada Khamis (10 Sep) bahawa Encik Lekjaa membuat kenyataan itu ketika menghadiri satu acara parti politik di Bouznika, Maghribi.

"Wilayah Benslimane akan diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia 2030," katanya.

Benslimane terletak sekitar 60 kilometer dari Casablanca dan merupakan lokasi Stadium Hassan II bernilai AS$12 bilion (S$15.3 bilion), yang sedang dibina bagi Piala Dunia 2030.

Stadium itu dijangka mempunyai kapasiti 115,000 penonton dan bakal menjadi stadium khusus bola sepak terbesar di dunia.

Namun, badan induk bola sepak dunia FIFA belum mengumumkan lokasi perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Maghribi dan Sepanyol kini masing-masing mahu menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia 2030.

Reuters sudah menghubungi FIFA dan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol untuk mendapatkan komen.

PIALA DUNIA PERTAMA DI ENAM NEGARA, TIGA BENUA

Piala Dunia 2030 akan menjadi kejohanan pertama yang berlangsung di enam negara merentasi tiga benua.

Tiga perlawanan pembukaan akan berlangsung di Argentina, Paraguay dan Uruguay, manakala sebahagian besar kejohanan akan dianjurkan bersama oleh Maghribi, Portugal dan Sepanyol.

FIFA masih belum memuktamadkan semua bandar yang akan menjadi tuan rumah perlawanan.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol Rafael Louzan sebelum ini menegaskan bahawa Sepanyol seharusnya menjadi tuan rumah perlawanan akhir.

"Sepanyol seharusnya menjadi tuan rumah perlawanan akhir," katanya kepada media tempatan awal bulan ini.

Pada Ogos lalu, FIFA turut menafikan laporan media bahawa Presidennya Gianni Infantino sudah menjanjikan hak menjadi tuan rumah perlawanan akhir kepada Maghribi, dengan menyifatkan laporan itu sebagai "palsu dan mengelirukan".
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita