BWF semak semula protokol tindak balas kecemasan berikutan kematian pemain badminton China
Para pemain dan jurulatih badminton dari China, yang bersaing di Kejohanan Remaja Asia 2024, sama-sama bertafakur buat mendiang pemain China Zhang Zhijie, yang rebah ketika perlawanan menentang Jepun di Yogyakarta, 1 Julai 2024. (Gambar: Handout/Divisyen Perhubungan Awam dan media Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI)/AFP)
BWF dalam kenyataan pada Selasa (3 Jul) memaklumkan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengkaji semula insiden itu secara menyeluruh dan akan memutuskan sama ada aspek tertentu dalam garis panduan berkenaan perlu diubah.
Walaupun kejohanan itu di bawah bidang kuasa Badminton Asia, BWF memaklumkan terdapat satu garis panduan perubatan dan arahan umum untuk digunakan oleh badan pentadbiran lain sukan itu (peringkat serantau atau kebangsaan) yang menganjurkan kejohanan yang dibenarkan BWF.
Menurut garis panduan itu, doktor kejohanan di bawah arahan pengadil, bertanggungjawab mengendalikan kecemasan dalam gelanggang termasuk kemungkinan kes serangan jantung hingga perkhidmatan perubatan yang sewajarnya, seperti ketibaan ambulans.
“Bagaimanapun, terpulang kepada setiap badan pentadbiran terlibat untuk memutuskan cara ia melaksanakan protokol dan amalan perubatan di tempat kejohanan. Apabila melaksanakan garis panduan ini, ditekankan bahawa semua petugas perlu bersedia sepanjang masa untuk bertindak balas terhadap keperluan intervensi perubatan termasuk kecemasan secepat yang mungkin
“Semakan sedia ada yang dimulakan awal tahun ini untuk menilai dasar dan prosedur BWF mengenai intervensi kecemasan oleh doktor kejohanan bagi memastikan penjagaan paling sesuai dan tepat pada masanya, akan memasukkan sekali hasil penilaian BWF dan laporan Badminton Asia,” menurut kenyataan itu.
BWF turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Zhang, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China dan seluruh komuniti badminton negara itu.
Zhang, pemain perseorangan lelaki, rebah di gelanggang semasa menentang pemain Jepun Kazuma pada perlawanan peringkat kumpulan di Among Rogo Sport Arena.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Badminton Asia dan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) susulan insiden itu, mereka memaklumkan Zhang meninggal dunia pada pukul 11.20 (waktu tempatan), Ahad lepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.