Bola sepak: Liverpool tewaskan Barcelona 4-0, mara pusingan akhir Liga Juara-Juara
Liverpool melakar salah satu kebangkitan paling mengagumkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila menewaskan Barcelona 4-0 di Anfield sekaligus mara ke pusingan akhir buat dua musim berturut-turut menerusi agregat 4-3, awal pagi tadi (8 Mei).
Gol kemenangan Reds dijaringkan oleh penyerang Belgium Divock Origi (tengah) dan pemain gantian Georginio Wijnaldum (Gambar: Peter Byrne/PA/AP)
LIVERPOOL: Liverpool melakar salah satu kebangkitan paling mengagumkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila menewaskan Barcelona 4-0 di Anfield sekaligus mara ke pusingan akhir buat dua musim berturut-turut menerusi agregat 4-3, awal pagi tadi (8 Mei).
Kemenangan itu diraih Reds selepas pasukan itu tewas 3-0 di Camp Nou minggu lalu.
Gol kemenangan Reds dijaringkan oleh Divock Origi dan pemain gantian Georginio Wijnaldum dengan masing-masing menyumbat dua gol.
Bukan sahaja berdepan tugasan menggunung untuk mara, Reds turut beraksi tanpa dua senjata mereka di bahagian serangan iaitu Mohamed Salah dan Roberto Firmino akibat kecederaan.
Sekalipun demikian, Origi dan Wijnaldum membuktikan mereka layak dijulang sebagai wira sedang Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol pada aksi pertama dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.
“Sekali lagi, kami menunjukkan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak,” kata Wijnaldum.
“Saya amat marah dengan pengurus kerana meletakkan saya di bangku simpanan tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan apabila saya dimasukkan.
Tanpa kelibat Salah dan Firmino, pasukan kendalian Jurgen Klopp membuktikan mereka masih belum hilang kepercayaan dan dibantu dengan suasana menakjubkan di Anfield.
Origi sudah hampir pasti tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama jika Salah dan Firmino cergas untuk bermain.
Namun, seperti biasa pemain kebangsaan Belgium itu menyumbat gol penting buat Liverpool apabila beliau meledakkan jaringan pertamanya di Liga Juara-Juara seawal minit ketujuh selepas penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen berjaya menangkis sepakan gol oleh kapten Jordan Henderson.
Selepas jaringan berkenaan, Barca mula mengorak langkah dan hampir berjaya memecah kebuntuan menerusi bintangnya, Lionel Messi, melalui sepakan percuma tetapi ia berjaya dihalang Alisson Becker sebelum penjaga gol dari Brazil itu menafikan percubaan rakan senegaranya, Philippe Coutinho.
Liverpool berdepan satu lagi masalah kecederaan apabila Andy Robertson tidak dapat meneruskan aksi setelah separuh masa pertama dan ia memberi ruang buat Wijnaldum.
Ternyata, Wijnaldum membuktikan kesan yang dibawanya apabila merembat masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 dan menambah jaringan kedua peribadi dua minit kemudian sebelum Origi menyumbat gol kemenangan pada minit ke-79.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.