Bola sepak: Bekas pemain antarabangsa Stephen Ng dilantik ketua jurulatih pasukan wanita negara
Bekas pemain bola sepak antarabangsa Stephen Ng dilantik sebagai ketua jurulatih baru pasukan bola sepak wanita negara, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Ahad (7 Mac).
(Gambar: FAS)
SINGAPURA: Bekas pemain bola sepak antarabangsa Stephen Ng dilantik sebagai ketua jurulatih baru pasukan bola sepak wanita negara, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Ahad (7 Mac).
"Saya lihat banyak potensi dalam bola sepak wanita di Singapura, dan saya mahu melakukan sesuatu dan menyumbang mengikut cara saya sendiri," kata Encik Ng, yang akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun.
"Sebagai seorang jurulatih yang amat meminati bola sepak tempatan, dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Negara adalah peluang terbesar bagi saya untuk memperkenalkan perubahan dan saya berbesar hati dan bangga kerana dipilih."
Pengumuman itu dibuat oleh FAS semasa sambutan Hari Bola Sepak Wanita Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di stadium Jalan Besar.
Encik Ng akan memimpin skuad wanita negara beraksi dalam beberapa perlawanan termasuk pusingan pertama Kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2022, Kejohanan Wanita AFF 2021 serta Sukan SEA ke-31 di Vietnam.
Beliau dipilih daripada lebih 160 pemohon tempatan dan warga asing, menurut FAS dalam satu kenyataan media.
LATAR BELAKANG
Encik Ng merupakan pendidik jurulatih AFC dan juga meraih diploma profesional kejurulatihan AFC, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya jurulatih bola sepak.
Selama enam tahun beliau menjadi jurulatih di Persatuan Bola Sepak Brunei. Semasa berkhidmat di sana, beliau membantu membangunkan pasukan bola sepak akar umbi wanita dengan menyediakan sokongan bagi pendidikan jurulatih wanita, termasuk menganjurkan acara di sekolah serta menjalankan kursus kejurulatihan bagi jurulatih wanita.
Encik Ng berkata minatnya untuk membantu membangunkan arena bola sepak wanita sebagai faktor utama beliau menerima jawatan di FAS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.