Skip to main content

Sukan

Bola 'Hand of God' Maradona dijual pada AS$3.35 juta dalam lelongan

Anggaran Waktu Membaca:
Bola 'Hand of God' Maradona dijual pada AS$3.35 juta dalam lelongan

Gambar: AP

Diterbitkan : 24 Aug 2026 11:18AM Dikemas Kini : 24 Aug 2026 02:21PM
  • Bola Adidas Azteca yang digunakan Diego Maradona ketika menjaringkan dua gol ikonik menentang England pada Piala Dunia 1986 dilelong di Dallas pada harga AS$3.35 juta.
  • Bola tersebut pernah disimpan selama 36 tahun oleh pengadil Tunisia Ali Bin Nasser sebelum dilelong di London pada 2022.
  • Heritage Auctions menyifatkan bola itu sebagai antara barangan sukan paling terkenal, walaupun harga jualan lebih rendah daripada anggaran awal.
  • Jersi Maradona dari perlawanan sama juga pernah dijual hampir AS$9.3 juta oleh Sotheby’s, menunjukkan nilai tinggi memorabilia berkaitan perlawanan bersejarah itu.
Dijana oleh AI
DALLAS: Bola yang digunakan legenda bola sepak Diego Maradona ketika menjaringkan gol ikonik 'Hand of God' dan satu lagi jaringan solo yang menakjubkan ketika Argentina menentang England pada Piala Dunia FIFA 1986 dijual pada harga AS$3.35 juta (S$4.25 juta) dalam satu lelongan.

Bola Adidas Azteca itu digunakan ketika Argentina mengalahkan England 2-1 pada perlawanan suku akhir, yang menyaksikan Maradona menjaringkan dua gol paling dikenang dalam sejarah Piala Dunia.

Pusat lelongan berpangkalan di Dallas itu menjual bola berkenaan pada Sabtu (22 Ogos), selepas pakar memadankannya dengan gambar yang dirakam ketika perlawanan berkenaan.

Harga akhir itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding anggaran sebelum lelongan sekurang-kurangnya AS$10 juta dolar (S$12.7 juta).

Heritage Auctions menyifatkan bola itu sebagai antara yang paling terkenal dalam dunia sukan dan berpotensi menjadi barangan bola sepak paling bernilai pernah dijual.

Gol pertama Maradona ketika menentang England kemudian dikenali sebagai “Hand of God” selepas beliau menggunakan tangan kiri untuk menolak bola melepasi penjaga gawang Peter Shilton, namun jaringan itu tetap disahkan pegawai perlawanan.

Empat minit kemudian, kapten Argentina itu menguasai bola di kawasan sendiri sebelum menggelecek melepasi lima pemain England dan menjaringkan gol yang kemudian dipilih sebagai 'Gol Terbaik Abad Ini' Piala Dunia FIFA.

Bola berkenaan disimpan selama 36 tahun oleh pengadil Tunisia Ali Bin Nasser yang mengadili perlawanan itu, sebelum dijual pada harga £2 juta (S$3.46 juta) dalam satu lelongan di London pada 2022.

Jersi yang dipakai Maradona dalam perlawanan sama pula dijual pada harga hampir AS$9.3 juta (S$11.8 juta) oleh Sotheby’s pada tahun berkenaan.
 
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita