Skip to main content

Sukan

Bintang Liverpool Mohamed Salah diabadikan di Madame Tussauds

Bintang bola sepak Liverpool Mohamed Salah mendedahkan 'pelanduk dua serupa' di Madame Tussauds London pada Khamis (21 Okt), sambil menyifatkan patung lilin yang menyerupainya itu sebagai suatu "penghormatan".

Anggaran Waktu Membaca:
Bintang Liverpool Mohamed Salah diabadikan di Madame Tussauds

Pelanduk dua serupa? Salah berdiri di sebelah patung lilin yang menyerupainya di Madame Tussauds London (Gambar: Made Tussauds)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 11:48AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 11:49AM

LONDON: Bintang bola sepak Liverpool Mohamed Salah mendedahkan 'pelanduk dua serupa' di Madame Tussauds London pada Khamis (21 Okt), sambil menyifatkan patung lilin yang menyerupainya itu sebagai suatu "penghormatan".

Ratusan ukuran dan gambar pemain bola sepak berusia 29 tahun itu diambil untuk memastikan patung tersebut salin tak tumpah, lapor BBC.

Salah berkata ia ibarat "melihat diri sendiri dalam cermin" apabila pertama kali beliau melihat patung itu di Madame Tussauds London.

Pemain serangan warga Mesir itu hujung minggu lalu dijulang pengurusnya Jurgen Klopp sebagai pemain "yang terbaik" di dunia.

Kehadiran Salah menyerikan bola sepak England sejak beliau menyertai Liverpool pada 2017, memecahkan rekod gol Liga Perdana England dengan membuat 32 jaringan dalam musim 38 perlawanan semasa kempen 2017-18.

Sejak itu beliau telah membantu kelab tersebut menjulang trofi keenamnya dalam Liga Juara-Juara, selain membawa pulang kejuaraan pertamanya dalam Liga Perdana England.

Salah berkata ia "satu penghormatan untuk diiktiraf dan diabadikan" dengan patung lilin itu, lapor BBC.

"Saya seperti tidak percaya apabila saya berdiri di sebelah 'saya', ia seperti melihat diri sendiri di dalam cermin. Saya tidak sabar mendengar reaksi peminat," katanya.

Patung Salah memakai sut berwarna krim yang digayakan pemain itu di muka depan majalah GQ Middle East.

Tim Waters, pengurus besar di Madame Tussauds London, berkata Salah adalah "antara yang terbaik dalam permainan (bola sepak), mungkin juga terbaik di dunia kini, dan tentunya layak mendapat satu patung".

"Kami pasti ramai yang mahu melihat patung Mo menyarungkan jersi Liverpool, namun kami benar-benar mahu menandakan statusnya sebagai bintang antarabangsa," tambahnya.

Para peminat boleh melihat patung lilin itu bermula Sabtu ini.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita