Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

BERITA+: Kebangkitan sukan skuasy di SG, usaha lahirkan juara masa depan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Nama pemain-pemain skuasy seperti Mohd Rizal Mohd Kadir, Nur Adawiyah Abdul Aziz, Dermadi Adi, dan Zainal Abidin Abdul Malik pernah mengharumkan nama Singapura di pentas dunia.

Kini, pelbagai usaha giat dijalankan untuk menarik minat generasi muda bagi memastikan kesinambungan legasi ini.

Matlamatnya jelas, iaitu mencungkil bakat baharu dan melahirkan juara masa depan.

BAKAT MUDA CEMERLANG DI PERSADA ANTARABANGSA
Zainal Abidin bersama pemain muda Chua Yi Cheng, Saiesha Ranjan, Kareena Sashikumar dan Jayna Lim
Salah seorang bakat muda yang menyerlah ialah Kareena Sashikumar, 10 tahun, yang mencipta nama dengan memenangi lima kejohanan skuasy di Asia sepanjang tahun ini.

Pencapaian terbarunya adalah menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-16 pada awal Disember.

Kareena bersama tiga pemain muda lain — Chua Yi Cheng, 10 tahun; Jayna Lim, 14 tahun; dan Saiesha Ranjan, 17 tahun — merupakan anak didik legenda skuasy Singapura, Zainal Abidin Abdul Malik.

"Mereka sudah menunjuk ciri-ciri kebolehan seperti kepintaran dapat berfikir dan juga waktu bermain mereka berusaha untuk mengejar bola. Ini penting untuk skuasy.

"Dalam skuasy, kebolehan daripada kemahiran itu penting. Pemain mesti tahu memukul dari semua segi – 'forehand drive, backhand drive, forehand cross court, backhand cross court, lob, dan drop shot.' Sebagai jurulatih itu, kita mesti tahu apa kelemahannya daripada segi kebolehannya," kata Encik Zainal kepada Rosli A Razak.

PENCAPAIAN LUAR BIASA MERENTASI EMPAT DEKAD

Encik Zainal, 67 tahun, telah lama menjadi inspirasi.

Kerjayanya dalam skuasy menjangkau empat dekad.

Beliau meraih tiga emas Sukan SEA, enam penyertaan Kejohanan Dunia, dan 11 juara nasional berturut-turut.

Ini selain mempunyai sembilan gelaran Asia Timur dan dinobatkan Olahragawan Terbaik 1986.

Namun, kehebatan seorang atlet sejati bukan hanya diukur melalui pencapaian semasa kerjayanya, tetapi juga melalui sumbangannya selepas bersara.

Beliau membuktikan bahawa semangat dan komitmennya terhadap skuasy tetap utuh.

Dalam menghadapi cabaran daripada sukan yang lebih popular seperti bola sepak dan tenis, pemenang Anugerah Olahragawan Terbaik 1986 itu terus melatih generasi baharu.

SKUASY KEMBALI POPULAR

Sukan skuasy di Singapura kini sedang mengalami kebangkitan semula, dengan pertumbuhan yang ketara di peringkat akar umbi dan elit.

Persatuan Raket Skuasy Singapura (SSRA) optimis terhadap masa depan sukan skuasy, didorong oleh peningkatan populariti serta prestasi cemerlang daripada bakat-bakat muda.
Pengurus Besar SSRA, Alex Wan.
"Kami melihat skuasy kini berada pada tahap yang sangat memberangsangkan di peringkat prestasi tinggi. Kami mempunyai beberapa pemain muda yang kini berada di kedudukan teratas ranking junior Asia, yang sangat menjanjikan. Dari segi akar umbi, kami melihat peningkatan dalam populariti sukan ini, terbukti melalui peningkatan tempahan gelanggang awam, terutamanya selepas pandemik COVID-19," kata pengurus besar SSRA Encik Alex Wan.

Kebangkitan itu sejajar dengan trend peningkatan penglibatan rakyat Singapura dalam aktiviti sukan selepas pandemik.

"Secara keseluruhan, lebih ramai orang di Singapura menceburi sukan. Bagi skuasy, kami juga giat menjalankan program mendekati masyarakat seperti Program Tryouts dan Follow-Up Marigold. Inisiatif itu memperkenalkan skuasy kepada kanak-kanak berumur antara enam hingga 14 tahun, diikuti dengan latihan yang bersubsidi secara besar-besaran supaya lebih ramai dapat menikmati latihan skuasy yang berkualiti," kata beliau.

Seiring dengan minat terhadap skuasy yang semakin meningkat, SSRA terus komited untuk mengasah bakat dan memperluaskan akses kepada sukan itu.

Namun, cabaran tetap ada, terutamanya mengenai ketersediaan gelanggang skuasy awam.

Pada masa ini, terdapat 26 gelanggang skuasy di merata negara yang diuruskan ActiveSG.

"Kami memang mempunyai banyak gelanggang di Singapura, tetapi sebahagian besar daripadanya terletak dalam kawasan privet seperti kondominium dan kelab-kelab privet," dedah Encik Wan.

Usaha sedang dilakukan untuk menangani isu ini, dengan SSRA dalam perbincangan bersama Sport Singapore dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk menambah bilangan gelanggang awam.

Perkembangan terkini memberikan harapan baharu.

"Dengan pengumuman Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong tentang pembangunan semula Kallang Alive. Kami sangat berharap bahawa skuasy akan turut disertakan dalam perancangan mereka.

"Sementara itu, kami telah bekerjasama dengan kelab-kelab privet seperti Singapore Swimming Club dan Tanglin Club, yang dengan murah hati telah menganjurkan acara seperti OncoCare Singapore Junior Open dan menyediakan tempat latihan mingguan untuk atlet kami," ujar beliau.

Satu lagi usaha adalah Buku 'JUARA: Kisah Lagenda Skuasy Singapura Zainal Abidin' yang diterbitkan untuk menarik minat golongan muda bermain skuasy.
Bersama peserta bengkel skuasy SSRA, Falisha Alayna Ahmad Zainuddin
Ia turut menganjurkan bengkel untuk memperkenalkan skuasy kepada golongan muda yang berminat.

"Abang saya galakkan saya untuk bermain skuasy. Jadi bila beliau ajar saya, saya jadi minat. Saya rasa saya akan serius mengenainya kerana saya berminat untuk menyertai pertandingan," kata peserta bengkel, Falisha Alayna Ahmad Zainuddin, 12 tahun.

Seorang lagi peserta turut memendam cita-cita untuk bertanding secara kompetitif.

"Saya nampak tidak ramai orang Melayu bermain dan saya ingin mencuba. Saya harap suatu hari nanti saya dapat mewakili Singapura dengan main skuasy," kata Siti Rahwani Buhari, 14 tahun.

HARAPAN MASA DEPAN: HASIL LEBIH RAMAI PEMAIN PROFESIONAL
Zainal Abidin bersama Ethan Kuan Ming-Rui
SSRA juga mengambil langkah proaktif untuk membangunkan generasi baharu pemain skuasy profesional sepenuh masa.

Usaha itu termasuk memperkenalkan program biasiswa bagi memberi sokongan kepada atlet muda yang bercita-cita besar.

"Apa yang saya harapkan ialah melihat lebih ramai pemain skuasy profesional sepenuh masa di Singapura. Saya rasa kami sedang bergerak ke arah yang betul kerana SSRA telah memulakan program biasiswa tahun ini," kata Encik Wan.

Setakat ini, salah Au Yeong Wai Yhann telah menerima pembiayaan penuh untuk bersaing di kejohanan profesional. Beliau dibiayai Institut Sukan Singapura sebagai sebahagian daripada program biasiswa Spex.

"Kami berharap lebih ramai individu akan meluangkan masa untuk bermain secara profesional. Dengan itu, di masa hadapan, kanak-kanak dan ibu bapa akan melihat bahawa terdapat kerjaya dalam skuasy yang melangkaui tahap kolej," tambahnya.

Dengan bimbingan jurulatih seperti Encik Zainal dan usaha SSRA yang berterusan, masa depan skuasy Singapura dijangka cerah di peringkat antarabangsa.

"Adakah skuasy boleh membawa Singapura naik ke tahap yang lebih tinggi? Ia sudah terbukti kerana kita pernah menjadi nombor enam di dunia. Kita pernah jadi nombor tujuh di dunia. Kita menjadi nombor 10 di dunia dalam masa 10 tahun. Itu sudah membuktikan kebolehan kita. Cuma kalau kita tidak meneruskan, kita tidak mengambil kesempatan ini, kita tidak boleh," kata Encik Zainal.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan