Skip to main content

Sukan

BERITA+: Anak-anak Melayu ini buktikan diri dalam sukan tradisional India

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Impiannya dari usia muda hanya satu - untuk mewakili negara satu hari nanti.

Tidak kira dalam apa-apa sukan pun, kata Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib, 24 tahun.

Dahulu, Aidil lebih aktif dalam sukan seperti bola sepak dan bola keranjang.

Namun, impiannya tidak dapat direalisasikan menerusi sukan-sukan itu.

Sebaliknya, impiannya itu bakal menjadi nyata dengan Kabaddi, sukan yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya dalam Sukan SEA.

"Saya sangat gembira peluang ini akhirnya tercapai. Dapat mewakili negara adalah satu-satunya pencapaian terbesar untuk seorang atlet," kata Aidil.

AIDIL ASYRAAF JADI NAIB KAPTEN

Aidil bukan sahaja mewakili negara dalam sukan tersebut, bahkan sebagai Naib Kapten pasukannya itu sekali gus membuktikan kepimpinan dalam sukan itu.

Sukan Kabaddi yang berasal dari India bakal dipertandingkan di Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025.

Minat Aidil terhadap sukan Kabaddi mula timbul setelah menontonnya di TikTok hanya tiga tahun lalu.

Aidil berkata, "Apa-apa video yang saya tonton semuanya dalam bahasa Tamil. Jadi yang tengok dan cuba faham pergerakannya dan teknik-teknik dan cuba untuk menirunya. Saya tidak tahu apa itu Kabaddi waktu itu."

"Saya lihat Persatuan Kabaddi Singapura mengadakan percubaan untuk memilih individu untuk mewakili negara. Saya masih ingat lagi, latihan pertama saya, saya muntah!" tambah beliau lagi.

Dek cara permainan yang agak lasak dan fizikal, lazim juga untuk pemainnya alami kecederaan.

Manakan tidak, para pemain akan melayang atas lawan, bergelut habis-habisan hanya untuk memungut mata dalam setiap pusingan.

"Jari-jemari saya pernah patah, hidung saya juga dan saya pun menjalani pembedahan di kedua-dua buku lali saya tetapi ini semuanya kerana mencintai sukan ini," kata Aidil.

KAUM WANITA SEMAKIN BERANI CUBA SUKAN KABADDI

Kaum lelaki biasanya yang mendominasi sukan Kabaddi.

Namun, sang wanita juga sudah mula berani menyahut cabaran.

Skuad wanita negara bahkan mula dibentuk pada Januari tahun ini, juga akan beraksi di Sukan SEA Thailand kelak.

Presiden Persatuan Kabaddi Singapura, Sivanessan Kitnasamy berkata, "Kami akan ke temasya sukan. Perjalanannya agak singkat tetapi kita berjaya untuk melakukannya. Di negara-negara konservatif seperti Iran dan Indonesia, mereka juga main sukan ini. Jadi masyarakat tempatan pun perlu faham sukan ini juga untuk wanita dari pelbagai lapisan latar belakang."

Antara yang menyahut cabaran itu ialah Putri Siti Nur Farhani Shamsuri, antara tonggak utama dalam pasukan wanita negara.

Beliau sebelum ini pernah mewakili negara dalam sukan Jiu Jitsu, dan menganggap ada persamaan dalam permainannya.

Putri berkata, "Saya tak pernah ada idea tentang Kabaddi tetapi saya lihat di gambar-gambar seperti ada permainan leret jadi saya rasa agak sama."

"Memperkenalkan Kabaddi dalam Sukan SEA itu adalah satu peluang yang istimewa. Saya rasa ia satu langkah untuk kita mencipta sejarah," tambah beliau lagi.

Dengan ketinggian 142 sentimeter sahaja, Putri ibarat kecil-kecil cili padi - penuh bertenaga di gelanggang Kabaddi.

Putri berkata: "Sudah tentu semangat pasukan dan adrenalin yang ada bila kita bermain secara berpasukan. Bila kita 'tackle' dan rakan sepasukan bersama-sama cuba mendapatkan mata. Semua orang bertekad. Kami pun boleh agresif seperti kaum lelaki."

Pasukan wanita dan lelaki negara, kedua-duanya dianggap sebagai 'underdogs' dalam Sukan SEA kali ini.

Namun, semangat mereka tidak luntur untuk merebut pingat untuk negara.

Encik Siva menjelaskan, "Akan ada tiga pasukan besar - Thailand, Malaysia dan Indonesia - yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman antarabangsa. Pasukan lelaki kita hanya ada pengalaman dua tahun dan pasukan wanita pula baru dibentuk tahun ini. Tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik melawan pasukan lebih bertenaga ini."

Aidil pula menambah: "Saya positif yang kedua-dua pasukan boleh membawa pulang enam pingat. Tiga pingat gangsa untuk pasukan lelaki dan tiga pingat gangsa untuk pasukan wanita."

CARA PERMAINAN KABADDI

Di temasya Sukan SEA nanti, tiga format Kabaddi akan dipertaruhkan: tujuh lawan tujuh, lima lawan lima dan tiga lawan tiga.

Matlamat utama dalam sukan sentuhan lasak itu adalah untuk mengutip paling banyak mata untuk menang, tidak kira dari sudut serangan atau pertahanan.

 
Untuk serangan, seorang 'raider' akan perlu masuk ke zon lawan dan cuba menyentuh seberapa ramai pihak lawan sebelum kembali ke garisan tengah.

Setiap pemain yang disentuh itu merupakan satu mata.

'Raider' tersebut perlu melakukan serangan dalam tempoh 30 saat.

Untuk barisan pertahanan pula, mereka perlu cuba untuk menangkap 'raider' itu dan menghalangnya daripada pulang ke garisan tengah.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita