Skip to main content

Sukan

Berdiri di atas podium, johan Sukan Asia Shanti Pereira berkata kepada dirinya: 'Saya sudah berjaya'

Anggaran Waktu Membaca:
Berdiri di atas podium, johan Sukan Asia Shanti Pereira berkata kepada dirinya: 'Saya sudah berjaya'

Gambar: SNOC/Kelly Wong

Diterbitkan : 03 Oct 2023 11:17PM Dikemas Kini : 03 Oct 2023 11:32PM
HANGZHOU: Sedang beliau berdiri di atas podium di Stadium Sukan Olimpik Hangzhou dan lagu kebangsaan Majulah Singapura bergema, Shanti Pereira memejamkan mata untuk merasakan detik penuh bermakna itu.

"Saya hanya menyerap (detik itu)...detik apabila berada di podium tersebut dan mendengar lagu kebangsaan yang dimainkan di Sukan Asia," katanya kepada Mediacorp pada Selasa (3 Okt), kurang 24 jam setelah meraih kemenangan bersejarahnya di acara 200 meter di Sukan Asia.

"Saya hanya menikmati detik itu dan menyedari betapa besarnya (detik tersebut). Ia sangat bermakna bagi saya, bukan untuk saya sahaja, bahkan untuk semua yang ada di sana dan juga yang berada di tanah air."

Pada Isnin malam (2 Okt), Pereira mencatat masa 23.03 saat, sekali gus memenangi peringkat akhir 200 meter wanita. Ia merupakan pingat emas atletik pertama Singapura sejak 1974, apabila Chee Swee Lee menang acara 400 meter wanita.

Sementara itu, atlit dari China Li Yuting meraih pingat perak dengan catatan masa 23.28 saat dan atlit dari Bahrain, Edidiong Ofonime Odiong pula menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 23.48 saat.

"(Saya sedang) menerimanya hakikat ini...Malah sewaktu saya menjejakkan kaki ke podium, saya dapat merasakan air mata mula bergenang," cerita Pereira.

"Saya betul-betul cuba menahan (air mata), dan cuba untuk tidak menangis dengan sehendak hati," ujarnya, sambil tertawa.

Ketika lagu kebangsaan hampir ke penghujungnya, Pereira dilihat mengangguk beberapa kali.

"Di penghujungnya, saya fikir: 'Ya, ya, saya sudah melakukannya, saya berada di sini (memenangi pingat emas)'," tambahnya.

CARA SUKAN TERSEBUT BERFUNGSI

Sehari kemudian, warga Singapura itu baru menerima kenyataan dengan apa yang berjaya dicapainya.

"Saya rasa (saya sudah menerima kenyataannya). Saya hanya memikirkan tentang perlumbaan itu, sekali-sekala, pada beberapa ketika sepanjang hari dan masih tidak percaya, tetapi saya rasa ia hanya selepas lagu kebangsaan dimainkan, barulah saya menerima kenyataannya," kata Pereira, yang akan tampil dalam acara berganti-ganti 4x100m wanita pada Selasa malam.


Di samping beberapa anggota pasukan atletik, beliau dijadual pulang ke Singapura pada Khamis (5 Okt).

Pada Mei tahun ini, Pereira menjadi wanita rakyat Singapura pertama yang memenangi kedua-dua acara 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA; kemudian disusuli pula dengan dua kemenangan di Kejohanan Atletik Asia pada Julai.

Pada Ogos, Pereira menjadi rakyat Singapura pertama untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia selepas prestasi yang hebat dalam acara 200 meter.

Beliau juga layak untuk ke Olimpik 2024 di Paris.

Beberapa hari sebelum beliau merangkul pingat emas itu, Pereira menamatkan penantian Singapura selama hampir 50 tahun untuk meraih pingat acara atletik dan balapan Sukan Asia selepas beliau merangkul pingat perak dalam acara 100m wanita.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita