Bekas penjaga gawang England Gordon Banks meninggal dunia
Gordon Banks, penjaga gawang pasukan bola sepak England yang menjulang Piala Dunia 1966, meninggal dunia pada usia 81 tahun. Demikian didedahkan bekas kelabnya Stoke City pada Selasa (12 Feb).

Gordon Banks pada 2017 (Gambar: Reuters)
STOKE-ON-TRENT: Gordon Banks, penjaga gawang pasukan bola sepak England yang menjulang Piala Dunia 1966, meninggal dunia pada usia 81 tahun. Demikian didedahkan bekas kelabnya Stoke City pada Selasa (12 Feb).
Banks menyarung jersi England sebanyak 73 kali dari 1963 hingga 1972 dan mewakili Stoke bagi hampir 200 perlawanan sebelum kerjayanya sebagai seorang pemain bola sepak terkubur akibat nahas jalan raya yang menyebabkannya hilang daya penglihatan pada salah satu matanya.
Dijulang sebagai antara penjaga gawang paling hebat di dunia, Banks disanjung atas keupayaannya menyelamatkan tandukan pemain legenda Brazil, Pele di Piala Dunia 1970.
"Dengan dukacita kami mengumumkan Gordon meninggal dunia semalam," menurut keluarga mendiang menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman rasmi Stoke.
"Kami amat bersedih atas pemergiannya, namun kami mempunyai banyak kenangan manis bersamanya dan amat berbangga dengan pencapaiannya."
Banks beraksi dalam setiap perlawanan Piala Dunia 1966 dan membantu pasukan negaranya menewaskan Jerman Barat 4-2 di Wembley - satu-satunya gelaran juara Piala Dunia buat England.
Empat tahun kemudian di Mexico beliau menghasilkan aksi menyelamat terhebat dalam sejarah semasa perlawanan di mana Brazil mengalahkan England 1-0, dengan mematahkan tandukan Pele yang hampir-hampir membolosi gawang dari tiang kanan.

"Saya sudah menjaringkan lebih seribu gol seumur hidup saya, tapi yang sering disebut-sebut orang adalah tandukan ini yang saya gagal jaringkan," kata Pele tentang insiden itu.
Banks pula dengan rendah diri berkata beliau bernasib baik ketika itu.
Banks, yang dilahirkan di Sheffield, memulakan kerjayanya di Chesterfield pada 1958 dan berpindah ke Leicester City setahun kemudian. Mendiang mewakili England buat pertama kali pada 1963, empat tahun sebelum menyertai Stoke.
Mendiang bersara pada 1973 selepas kemalangan jalan raya pada usia 33, namun empat tahun kemudian mula bermain semula dalam Liga Bola Sepak Amerika Utara dengan pasukan Fort Lauderdale Strikers.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.