Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bekas pemain tenis nombor 1 dunia Roger Federer bakal bersara

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain tenis nombor 1 dunia Roger Federer bakal bersara

(Gambar: Adrian Dennis/POOL/AFP)

Diterbitkan : 16 Sep 2022 11:21AM Dikemas Kini : 16 Sep 2022 11:21AM

REUTERS: Roger Federer yang dikenali ramai sebagai pemain tenis terbaik lelaki dan membawa sukan itu ke tahap baru sepanjang kerjayanya selama lebih dua dekad, akan bersara selepas Piala Laver di London minggu depan. 

Atlit berusia 41 tahun itu yang meraih kemenangan 20 Grand Slam dan melakar sejarah baru bagi sukan tenis dengan kepakaran dan gayanya, membuat pengumuman yang menghampakan para peminat tenis seluruh dunia dalam kenyataannya pada Khamis (15 Sep). 

Kecederaan pada bahagian lutut bermakna beliau belum beraksi sejak kalah di Wimbledon tahun lalu, walaupun ramai berharap bahawa beliau akan kembali meraih kemenangan buat kali terakhir. 

Namun, kata Federer, beliau sudah meningkat usia. 

"Seperti ramai yang tahu, tiga tahun yang lalu membawa beberapa cabaran kepada saya dari segi kecederaan dan pembedahan," kata Federer dalam kenyataannya di media sosial. 

"Saya sudah berusaha untuk pulih ke tahap boleh kembali bersaing sepenuhnya. Namun, saya juga tahu keupayaan dan had badan saya, dan mesejnya kepada saya baru-baru ini amat jelas. Saya berusia 41 tahun. 

"Saya sudah beraksi dalam lebih 1,500 perlawanan sepanjang 24 tahun. Tenis melayan saya lebih baik daripada apa yang pernah saya impikan, dan sekarang saya harus sedar bahawa sudah masanya untuk saya menamatkan kerjaya saya. Piala Laver di London minggu depan adalah acara ATP terakhir saya. Sudah tentu saya akan bermain tenis pada masa depan, tetapi bukan di Grand Slam atau menerusi perlawanan jelajah." 

Kemungkinan tamatnya kerjaya tenis Serena Williams menyusuli Terbuka AS yang penuh emosi awal bulan ini dan pengumuman Federer meninggalkan sukan tenis membuka tirai bagi penghujung satu era kegemilangan. 

Federer yang menguasai tenis lelaki selama beberapa tahun setelah memenangi juara Grand Slam pertamanya di Wimbledon pada 2003 dan bersaing dengan Rafa Nadal dan Novak Djokovic, mengalami beberapa kecederaan baru-baru ini. 

Beliau menjalani tiga pembedahan lutut sepanjang dua tahun yang lalu dan perlawanan terakhirnya adalah kekalahan pada suku terakhir apabila berdepan dengan Hubert Hurkacz dari Poland sewaktu Wimbledon 2021. 

Federer memberi harapan kepada peminatnya bahawa beliau merancang untuk kembali beraksi setelah bekerjasama dengan sekutu lamanya dan rakan Nadal untuk bermain secara berpasangan di Piala Laver di London minggu depan. 

Beliau juga merancang untuk beraksi di pertandingan Swiss di Basel. 

Namun, kerjayanya akan berakhir di London, bandar di mana keupayaan uniknya untuk bermain tenis menawan seluruh dunia. 

"Saya harap hari ini tidak akan pernah tiba. Ia adalah hari yang amat sedih bagi saya dan untuk sukan di seluruh dunia," kata Nadal yang menyusuli jejak Federer dengan memenangi 22 johan Grand Slam, di Twitter. 

"Saya amat berbesar hati dan terharu dapat berkongsi tahun-tahun ini bersama anda, menikmati detik-detik istimewa di dalam dan di luar gelanggang. 

"Kami akan melalui lebih banyak detik untuk dikongsi bersama pada masa akan datang, masih banyak lagi perlu dibuat. 

"Saya akan bertemu anda di London." 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa