Skip to main content

Sukan

Bekas pemain Tanjong Pagar United diarah jalani probesen gara-gara tumbuk pemain lawan

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain Tanjong Pagar United diarah jalani probesen gara-gara tumbuk pemain lawan
Rizqin Aniq Rahaizad bekas pemain bola sepak Tanjong Pagar United U-21. (Gambar: Facebook/Tanjong Pagar United FC)
Diterbitkan : 06 Jan 2026 12:15PM Dikemas Kini : 06 Jan 2026 12:18PM
SINGAPURA: Seorang bekas pemain bola sepak Tanjong Pagar United diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani tempoh probesen selama 15 bulan pada Selasa (6 Jan) kerana menumbuk dua pemain lawan selepas satu perlawanan.

Rizqin Aniq Rahaizad, 20 tahun, juga perlu melakukan kerja khidmat masyarakat selama 70 jam dan menghadiri sesi intervensi jika perlu. Ibu bapanya sudah membayar ikat jamin sebanyak S$5,000 bagi memastikan dia berkelakuan baik sepanjang tempoh tersebut.

Rizqin mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan.

Punca insiden berlaku selepas perlawanan antara pasukan Bawah 21 tahun (U-21) Tanjong Pagar United dan Albirex Niigata United pada 10 Februari tahun lalu di Stadium Jurong East.

Semasa perlawanan, seorang pemain Albirex dilaporkan menjerit "puas hati atau tidak" (happy or not) diikuti dengan kata-kata kesat terhadap rakan sepasukan Rizqin.

Pasukan Rizqin memenangi perlawanan tersebut. Semasa bersalaman selepas perlawanan berakhir, Rizqin membalas semula kata-kata "puas hati atau tidak" kepada pemain Albirex itu dan menumbuk mulutnya sehingga berdarah.

Walaupun pemain dan jurulatih lain cuba meleraikan keadaan, Rizqin kembali semula dan menumbuk seorang lagi pemain Albirex sehingga pengsan.

Pemain kedua yang ditumbuk itu mengalami konkusi (concussion) dan mula mengalami serangan panik selepas kejadian tersebut. Beliau juga disahkan menghidap gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) ringan dan gangguan panik.

Keputusan Mahkamah ke atas Rizqin dinilai sebagai sesuai untuk menjalani tempoh probesen. Pihak pendakwa tidak membantah hukuman itu kerana Rizqin dianggap berisiko rendah mengulangi kesalahannya dan menunjukkan disiplin yang baik.

Dia kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita