Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bekas pemain bola sepak SG Shahril Ishak bersara pada usia 39 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain bola sepak SG Shahril Ishak bersara pada usia 39 tahun

(Gambar: Instagram/thenumberseventeen)

SINGAPURA: Bekas kapten pasukan bola sepak negara, Shahril Ishak, 39 tahun, mengumumkan beliau sudah bersara daripada sukan tersebut pada Selasa (21 Feb).

Encik Shahril berkongsi menerusi akaun Instagramnya bahawa keputusan yang diambil "tidak mudah" dan beliau "tidak mahu masa itu tiba".

"Setiap perkara mempunyai permulaan dan pengakhiran. Selepas 19 tahun saya membuat keputusan untuk mengakhiri kerjaya saya sebagai pemain bola sepak profesional," katanya.

Kali terakhir Encik Shahril bermain adalah untuk pasukan Hougang United dalam Liga Perdana Singapura dan merangkul Piala Singapura bersama pasukan itu tahun lalu.

Pasukan tempatan yang disertainya termasuk Young Lions, Home United, Lions XII, Warriors FC dan Lion City Sailors.

Beliau juga bermain untuk pasukan luar negara, Johor Darul Ta'zim II di Malaysia, dan Persib Bandung dan Medan Chiefs di Indonesia.

"(Saya ingin mengucapkan terima kasih) kepada jurulatih, anggota yang bertugas di sebalik tabir, peminat, rakan sepasukan, sekarang dan dahulu atas sokongan mereka selama ini."

"Kerja keras mereka di sebalik tabir memainkan peranan dalam membantu saya meraih kemenangan selama sedekad lalu," katanya.

Encik Shahril membuat penampilan profesionalnya bersama Young Lions pada 2003 dan membuat penampilan bagi pasukan negara pada tahun yang sama.

Dengan 138 kemunculan, beliau merupakan pemain Singapura ketiga paling banyak membuat penampilan bagi pasukan negara.

Perlawanan terakhir beliau bagi pasukan negara adalah dalam Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 2018 menentang Filipina.

Beliau merupakan sebahagian daripada tiga pasukan yang memenangi Piala AFF pada 2004, 2007 dan 2012.

"Peluang bermain dan mewakili negara saya adalah perkara yang saya impikan dan ia adalah satu penghormatan," tambahnya.

Encik Shahril meraih pelbagai pencapaian individu di padang.

Pada 2010, beliau memenangi Pemain Terbaik Liga-S.

Beliau dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga apabila menjadi kapten pasukan Singapura sehingga merangkul Piala AFF 2012, serta meraih Pemain AFF Terbaik pada 2013.

Encik Sharil menjadi kapten LionsXII dan meraih piala Liga Super Malaysia pada 2013.

"Saya menantikan langkah seterusnya ...Tetapi buat masa ini, ia masa untuk memberi kesan kepada permainan ini di luar padang," katanya.

"Sehingga itu, terima kasih kepada semua yang membantu saya capai impian saya. Ia merupakan perjalanan yang indah," tambah Encik Shahril.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan