Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bekas kapten bola sepak wanita Afghanistan bimbang nasib pemain setelah Taliban kembali berkuasa

Bekas kapten pasukan bola sepak wanita Afghanistan, Khalida Popal, merenung perkembangan mengejutkan yang berlaku di tanah airnya apabila Taliban kembali berkuasa selepas 20 tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas kapten bola sepak wanita Afghanistan bimbang nasib pemain setelah Taliban kembali berkuasa

Ramai rakyat Afghanistan tidak sempat mendapatkan visa keluar negara untuk meninggalkan tanah air mereka tetapi bergegas ke lapangan terbang Kabul dengan harapan dapat terlepas daripada pemerintah Taliban. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 10:30AM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 10:31AM

LONDON: Bekas kapten pasukan bola sepak wanita Afghanistan, Khalida Popal, merenung perkembangan mengejutkan yang berlaku di tanah airnya apabila Taliban kembali berkuasa selepas 20 tahun.

Kini berpangkalan di Denmark, pengarah pasukan wanita itu sedang berusaha untuk membantu dan menasihati para pemainnya kerana bimbang akan kesan pemerintahan Taliban terhadap kaum wanita di negara asalnya itu.

Bekas kapten bola sepak wanita Afghanistan, Khalida Popal (tengah) menghadiri sesi latihan di selatan London pada 30 Mac 2018. (Gambar fail: Daniel Leal-Olivias/AFP)

(Khalida Popal (tengah) menghadiri sesi latihan di selatan London pada 30 Mac 2018. Gambar fail: Daniel Leal-Olivias/AFP)

"Saya menerima mesej daripada para pemain Afghanistan yang menangis, berkata mereka diabaikan dan terkurung di rumah (kerana) tidak boleh keluar. Mereka ketakutan," Khalida, 34 tahun, memberitahu BBC Sport.

"Semua impian lenyap dengan sekelip mata. Ia ibarat satu mimpi ngeri.

"Pemain-pemain menghantarkan video mereka dan berkata 'orang yang saya menentang kini berada di luar pintu rumah saya. Saya tidak boleh bernafas. Saya sangat takut dan saya tidak melihat sebarang perlindungan'", kongsi Khalida.

Beliau sudahpun menutup akaun Twitter pasukan negara itu untuk "melindungi" pasukan yang khuatir identiti para pemain sekarang dan yang lalu akan dikenal pasti.

Khalida juga menasihati para pemain supaya memadamkan akaun sosial media mereka.

"Kami telahpun menggalak wanita serta budak perempuan untuk bangkit dan memberanikan diri. Sekarang, saya menyuruh mereka memadamkan gambar-gambar mereka, menutup (akaun) media sosial mereka dan cuba untuk tidak bersuara. Ini menyebabkan begitu banyak keperitan," tambah beliau.

"Para pemain sudah menjadi sangat lantang bersuara, menegakkan hak wanita dan kini kehidupan mereka dalam bahaya."

Khalida menetap di Denmark sejak meninggalkan Afghanistan pada 2011 dan mencari suaka pada 2016.

Beliau berkata pengunduran tentera antarabangsa yang diterajui pasukan-pasukan Amerika Syarikat serta United Kingdom, selepas 20 tahun berada di tanah airnya, kini sudah menjejas teruk keselamatan kaum Hawa dan kanak-kanak perempuan.

Khalida menambah: "Setelah 20 tahun wanita menegakkan hak dan kebebasan, kami tidak menyangka kami akan ditinggalkan sendirian. Wanita-wanita itu mengambil risiko, meletakkan muka mereka di luar sana dan kini identiti mereka terdedah.

"Apa yang kami dengar adalah 'kami tidak mempunyai kepentingan di Afghanistan lagi'. Tiada siapa pun bercakap tentang (melindungi) aktivis wanita, para pemain, wartawan-wartawan yang berisiko," ungkap Khalida kepada BBC Sport.

Khalida berkeras menubuhkan pasukan bola sepak wanita pertama Afghanistan pada 2007.

Walaupun perlu berlatih secara senyap-senyap agar tidak diketahui Taliban, Khalida dan para anggota pasukannya menyedari bahawa bola sepak mungkin merupakan peluang mereka untuk membuat perbezaan dan menyuntik inspirasi kepada generasi atlit wanita seterusnya di negara itu.

Pasukan itu dituduh melanggar kepercayaan agama tetapi menyedari bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka setakat menubuhkan sebuah pasukan negara.

Perlawanan pertama mereka adalah semasa menentang Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa di Stadium Ghazi di Kabul pada tahun yang sama. Afghanistan menang 5-0 dan sedari itu, pasukan tersebut sudahpun bermain untuk pelbagai perlawanan antarabangsa.

"Saya ingat kami pergi ke sebuah perlawanan antarabangsa dan kami berdiri di bawah bendera kami," Khalida memberitahu BBC pada 2017.

Empat tahun kemudian, Khalida kini perlu menggesa badan-badan sukan seperti FIFA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menunjukkan sokongan mereka serta membantu melindungi orang ramai yang berdepan risiko di Afghanistan - termasuk pasukan yang sudah beliau tubuhkan.

"Bantu kami lindungi wanita ini yang identitinya terpapar. Bantu kami memastikan para pemain kami selamat," rayunya.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan