Bekas bintang Barcelona Patrick Kluivert sah ketua jurulatih baharu Indonesia
JAKARTA: Tidak lama selepas Indonesia mendedahkan calon yang disenarai pendek untuk pasukan bola sepak kebangsaan, wartawan bola sepak Itali, Fabrizio Romano mengesahkan bahawa Patrick Kluivert akan dilantik sebagai ketua jurulatih baharu, menggantikan Shin Tae-yong, yang dipecat pada awal pagi Isnin (6 Jan).
"Patrick Kluivert akan menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Indonesia," tulis Romano di akaun Instagramnya @fabriziorom.
"Kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun lagi sudah dipersetujui. Sesi pengenalan rasmi akan diadakan pada 12 Januari nanti di Indonesia.
"Sasarannya adalah untuk mencapai pusingan kelayakan Piala Dunia," menurut catatannya lagi.
Fabrizio Romano ialah seorang wartawan bola sepak terkenal yang diiktiraf kerana membuat liputan berita sekitar perpindahan pemain yang boleh dipercayai dan kemas kini eksklusif mengenai perpindahan pemain dan perubahan kejurulatihan. Dengan rangkaian sumber yang kukuh, dia telah memperoleh reputasi kerana memberi berita terkini sebelum ia diumumkan secara rasmi. Ungkapan beliau "Here We Go" mengesahkan sesuatu perjanjian telah dimuktamadkan dan semua pihak bersetuju.
Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir mengesahkan bahawa tiga calon, termasuk Kluivert dan lagenda Belanda Louis van Gaal, telah ditemuduga untuk peranan itu.
"Kami menemu bual Patrick Kluivert dan kakitangannya yang dicadangkan," kata Encik Erick. "Kami sedang mencari ketua jurulatih yang boleh membawa usaha tambahan dalam komunikasi, kepimpinan dan pemahaman taktikal."
Kluivert, dikenal sebagai striker tajam dengan naluri menjaring gol yang luar biasa. Kluivert memulakan kerjaya profesionalnya di Ajax Amsterdam, di mana ia meraih kejayaan besar, termasuk menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara UEFA 1995. Ketika itu, dia baru berusia 18 tahun.
Dia kemudian melanjutkan kerjayanya bersama Barcelona selama enam tahun, di mana bersama Rivaldo, memenangi La Liga pada tahun 1999.
Di pentas antarabangsa, Kluivert menjaringkan 40 gol untuk Belanda antara 1994 dan 2004 dari 79 pertandingan. Dia juga adalah penjaring terbanyak dalam Euro 2000 dan bermain dalam tiga Kejohanan Eropah UEFA dan Piala Dunia FIFA 1998.
Kerjaya kejurulatihan Kluivert bermula sebagai pembantu di AZ Alkmaar, sebelum dia menguruskan pasukan kebangsaan Curacao dan berkhidmat sebagai penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan Cameroon.
INDONESIA PECAT JURULATIH SHIN TAE-YONG
Indonesia pada Isnin (6 Jan) telah memecat rakyat Korea Selatan, Shin Tae-yong selaku jurulatih bola sepak negaranya, menurut ketua Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) yang menukil perlunya bagi kepimpinan lebih baik sedang negara itu berusaha mendapat tempat dalam Piala Dunia 2026.
Puluhan juta rakyat di negara itu merupakan penyokong tegar bola sepak, namun satu-satu kali Indonesia mengambil bahagian dalam Piala Dunia adalah pada 1938 ketika ia berada di bawah penjajahan Belanda.
Sejak ia meraih kemerdekaan pada 1945, Indonesia belum lagi berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia.
Ketua PSSI Erick Thohir berkata dalam sidang media bahawa Shin telah "menerima kertas kerja" dan tugasnya dengan pasukan itu telah "berakhir".
Beliau berkata pengganti Shin akan tiba di Indonesia pada 11 Januari.
"Kami perlukan kepimpinan yang melaksanakan strategi seperti yang dipersetujukan dengan para pemain, dapat berkomunikasi dengan lebih baik, dan melaksanakan program-program lebih baik untuk pasukan negara," kata Encik Erick.
Indonesia berada di tempat ketiga dalam kumpulannya di Piala Dunia selepas melalui enam daripada 10 perlawanan.
Mereka turut berada 1 mata di belakang Australia untuk merebut slot automatik yang kedua untuk ke pusingan akhir.
Jika mereka gagal, Indonesia masih boleh mengambil bahagian dalam pusingan keempat kelayakan Asia.
Sebanyak sembilan slot dalam pusingan akhir diberikan kepada pasukan Asia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.