Bekas bintang Barcelona, Arsenal, Cesc Fabregas bersara pada usia 36 tahun

Bintang midfield Chelsea Cesc Fabregas (jersi biru) menggelecek bola dalam perlawanan menentang Swansea City di London pada 8 Ogos 2015. (Gambar: AFP/Adrian Dennis)
ANKARA: Bekas juara Piala Dunia Cesc Fabregas mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 36 tahun.
“Dengan penuh kesedihan, masanya telah tiba untuk saya menggantung but saya.
"Dari hari pertama saya di Barca, Arsenal, Barca lagi, Chelsea, Monaco dan Como, saya akan menghargai mereka semua.
“Daripada menjulang Piala Dunia, Euro, hingga memenangi kejohanan di England dan Sepanyol dan hampir semua trofi Eropah, ia merupakan perjalanan yang tidak akan saya lupakan,” lapor Agensi Anadolu memetik ciapan pemain tengah Sepanyol itu.
Fabregas berkata dia mempunyai "kenangan dan kawan yang hebat" sepanjang kerjayanya, dan beliau juga berpeluang belajar tiga bahasa.
"Jadi selepas 20 tahun luar biasa penuh pengorbanan, dedikasi dan kegembiraan, tiba masanya untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada permainan yang indah itu," katanya.
Fabregas memenangi kejuaraan Liga Perdana England bersama Chelsea pada 2015 dan 2017.
Beliau membantu Barcelona merangkul kejuaraan La Liga Sepanyol pada 2013 sebelum berpindah ke Chelsea.
Semasa bersama Arsenal dari 2004 hingga 2011, beliau turut menjulang Piala FA England.
Fabregas membantu negara asalnya Sepanyol memenangi Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, dan dua Kejohanan Eropah (EURO) pada 2008 dan 2012.
Beliau akan memulakan tugas barunya sebagai jurulatih bola sepak dan membimbing kelab Serie B Itali Como B dan pasukan remaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.