Bekas atlet Paralimpik SG Theresa Goh kini ceburi sukan menembak
Biarpun sudah bersara daripada sukan renang kompetitif pada 2019, bekas atlet paralimpik sukan renang, Theresa Goh, merasakan jiwanya kekosongan selepas tidak lagi aktif menceburi sukan.
Theresa Goh bersama insan tersayang sebelum berlepas ke pertandingan menembak antarabangsa pertamanya. (Gambar: Theresa Goh)
Sebelum ini, beliau adalah juara dunia pertama Singapura dalam sukan renang.
Beliau juga adalah atlet tempatan yang memenangi paling banyak pingat di Sukan Para ASEAN (APG).
Walaupun beliau berasa lega kerana dapat kembali menjadi seorang "individu biasa" selepas bersara, Goh sejak kebelakangan ini mula merasakan sesuatu yang berbeza -- keresahan.
Ada satu aspek dalam hidupnya, satu ruang, yang terasa kosong dan tidak mempunyai tujuan.
"AURA YANG POSITIF"
Segalanya bermula di satu acara tempatan yang dianjurkan oleh badan pentatlon moden Singapura pada Julai lalu, di mana Goh mula menyedari bakat semula jadinya dalam sukan menembak.
Pentatlon moden biasanya melibatkan acara lawan pedang, menembak, berenang, menunggang kuda dan larian merentas desa, tetapi acara tersebut menampilkan gabungan larian dan menembak menggunakan laser.
“Semua orang sedang berlari, jadi semasa mereka berlari, mereka semua lebih pantas daripada saya,” katanya. “Saya merupakan peserta terakhir yang sampai (ke meja menembak), tetapi saya adalah peserta yang pertama atau kedua meninggalkannya.”
Kini, beliau berlatih dua kali seminggu dan kerap berulang-alik antara lapangan menembak di Yishun dan rumahnya di Tampines, di mana perjalanan itu mengambil masa hampir dua jam.
"SEJAUH MANA SAYA BOLEH PERGI?"
Walaupun sukan renang dan menembak amat berbeza, Goh percaya latar belakangnya sebagai seorang perenang membantunya untuk menyediakan asas yang kukuh.
“Saya bersyukur saya bermula dengan sukan renang, kerana ia merangkumi banyak keperluan asas yang saya perlukan untuk sukan lain,” katanya.
“Berenang bukan sekadar fizikal. Ia tentang daya tahan, kekuatan, mental, semua yang saya perlukan... dan kini saya ada asas itu yang boleh saya gunakan dalam sukan menembak.”
Namun, setelah meluangkan sebahagian besar hidupkan kepada sukan renang, Goh mengakui beliau berasa "agak janggal" untuk menceburi sukan baharu.
Malah, beliau kini turut berlatih dalam satu lagi disiplin sukan iaitu lontar peluru.
Ada kala beliau tertanya-tanya sama ada orang ramai akan mempunyai tanggapan bahawa beliau "mengkhianati" sukan renang. Beliau juga pernah mempersoalkan keputusannya untuk kembali menempuh disiplin sukan kompetitif.
Namun begitu, semangat Goh dipacu oleh keinginan untuk menguji kebolehannya.
“Mengapa kita perlu terlalu mengehadkan diri kita? Saya nak lihat sejauh mana saya boleh pergi. Apa yang saya mampu buat? Sejauh mana saya boleh pergi?” katanya.
“Dan itu tak sepatutnya terhenti hanya kerana saya sudah mencapai tahap tertentu dalam satu bidang sukan. Saya nak tahu apa had saya.”
BERUSAHA LANGKAH DEMI LANGKAH
Semangat yang berkobar-kobar itu mendorong Goh untuk bertanding di kejohanan antarabangsa pertamanya iaitu Piala Dunia Menembak di Changwon, Korea Selatan, bulan lalu.
“Saya rasa gementar, kerana sudah beberapa tahun saya tidak berada dalam suasana pertandingan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau menenangkan diri dengan mengingati bahawa “dunia tidak akan berakhir jika tembakannya tidak menjadi”.
Goh juga menyedari betapa beliau merindui suasana pertandingan.
"Saya sebenarnya dapat menunjukkan prestasi lebih baik sewaktu pertandingan ketika menjalani latihan.
Dan markah saya lebih tinggi daripada apa yang pernah saya capai ketika berlatih,” katanya lagi.
Walaupun tidak berjaya untuk melayakkan ke peringkat akhir kejohanan itu, Goh berjaya mencatatkan markah terbaik peribadi dan mencapai piawaian kelayakan untuk ke Sukan Para ASEAN.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.