Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Beckham antara ribuan orang beratur beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth

Bekas kapten bola sepak England, David Beckham, beratur lebih 13 jam di samping ribuan orang lain yang berkabung untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth yang ditempatkan di London pada Jumaat (16 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Beckham antara ribuan orang beratur beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth

Bekas pemain bola sepak England David Beckham meninggalkan Dewan Westminster, di Istana Westminster, di London pada 16 September 2022 selepas memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2022 10:40AM Dikemas Kini : 17 Sep 2022 10:40AM
LONDON: Bekas kapten bola sepak England, David Beckham, beratur lebih 13 jam di samping ribuan orang lain yang berkabung untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth yang ditempatkan di London pada Jumaat (16 Sep).

Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid yang kini pemilik bersama pasukan Liga Utama Amerika, Inter Miami, berkata beliau menyertai barisan pada pukul 1.15 tengah hari (Khamis, 9.15 malam waktu Singapura).

"Kami semua mahu berada di sini bersama-sama, kami mahu mengalami sesuatu di mana kami meraikan kehidupan menakjubkan Ratu. Sesuatu seperti hari ini memang untuk dikongsikan secara bersama," kata Beckham, 47 tahun, yang memakai topi serta sut gelap dengan tali leher hitam.

Beckham, yang kelihatan beratur berseorangan di dalam barisan ketika bercakap kepada wartawan, juga berkata beliau memakan kudapan, manis-manisan serta donut bersama orang lain yang turut berada dalam barisan untuk mengekalkan tenaga mereka.

Rakaman televisyen Dewan Westminster menunjukkan Beckham, yang sudah beberapa kali bertemu dengan Ratu sepanjang tempoh 70 tahun mendiang bertakhta, kelihatan sebak ketika beliau menanti gilirannya untuk berjalan melalui kerandanya.

Kerajaan menangguhkan sementara kemasukan untuk menyertai barisan beratur beberapa jam lebih awal pada Jumaat selepas memberi amaran bahawa masa menunggu adalah sekurang-kurangnya 14 jam.

Barisan beratur itu panjang berjela merentasi tengah London hingga ke Dewan Westminster parlimen. Keseluruhannya, sekitar 750,000 orang dijangka berjalan melewati keranda Ratu sebelum pagi Isnin.

Minggu lalu, Beckham memuat naik catatan di Instagram yang meluahkan betapa beliau "amat berdukacita" atas kemangkatan Ratu.

"Betapa luluhnya perasaan kita semua rasa hari ini menunjukkan betapa hebatnya beliau di negara ini dan di mata dunia. Betapa beliau memberi inspirasi kepada kita melalui kepimpinannya. Bagaimana beliau berada di sisi kita ketika waktu sukar," tulis Beckham.

Anda boleh ikuti Upacara Persemadian Negara bagi Ratu Elizabeth II yang bersiaran secara langsung di meWATCH. Berikut butirannya:

Tarikh & waktu Singapura
Tarikh: Isnin, 19 September 2022
Waktu: 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam

 
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa