Bayern sedia lepaskan Boateng selepas Piala Dunia
Pemain pertahanan Jerman, Jerome Boateng kini diletakkan dalam senarai untuk dijual selepas Piala Dunia.
VATUTINKI, Rusia: Pemain pertahanan Jerman, Jerome Boateng kini diletakkan dalam senarai untuk dijual selepas Piala Dunia dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan pemain skuad juara Piala Dunia 2014 itu boleh meninggalkan juara Bundesliga berkenaan dengan harga yang berpatutan.
"Idea itu tidak pernah difikirkan tetapi disuarakan kepada saya oleh penasihatnya, jadi kami sedar perkara itu akan disampaikan kepada kami," kata Rummenigge di Munich.
"Jika ada kelab yang datang (berminat) dan dia mengumumkan mahu berpindah, kami akan menguruskannya," tambahnya.
Boateng adalah antara pemain utama Jerman ketika ia meraih Piala Dunia di Brazil dan bakal tampil buat kali ke-71 dalam arena antarabangsa bagi perlawanan pembukaan Kumpulan F, menentang Mexico di Mosko, Ahad (17 Jun) ini.
Pemain berusia 29 tahun tersebut kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha, tetapi pengerusi Bayern memberi amaran bahawa Boateng tidak akan dilepaskan pada harga yang murah.
"Saya tidak suka berahsia, ia tidak akan begitu murah," tambah Rummenigge.
Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata, Boateng menarik perhatiannya ketika sesi latihan di Rusia selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan ketika pasukan tersebut menang 2-1 ke atas Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan sebelum termasya di Rusia itu.
"Dia berada dalam keadaan baik dan tiada tanda menunjukkan dia cedera," kata Leow di kem latihan Jerman di Mosko.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.