Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Barcelona dikenakan tuduhan rasuah, 'beli' pengadil

Anggaran Waktu Membaca:
BARCELONA: Kelab gergasi La Liga, Barcelona dikenakan tuduhan rasuah berhubung beberapa siri pembayaran kepada bekas naib presiden jawatankuasa pengadil Sepanyol menerusi syarikat dimilikinya.

Menurut pendakwaraya Sepanyol, kelab Catalan itu dilaporkan membayar lebih 7.3 juta euro (S$10.5 juta) kepada Jose Maria Enriquez Negreira, bekas pengadil dan naib presiden jawatankuasa pengadil Persekutuan Bola sepak Sepanyol dari 1994 hingga 2018.

Dua bekas presiden kelab itu, Josep Maria Bartomeu dan Sandro Rosell, serta Enriquez Negreira berdepan dakwaan yang sama.

Enriquez Negreira didakwa dibayar bagi memberikan nasihat kepada kelab itu berkenaan isu membabitkan pengadil.

"Kelab Barcelona mempunyai persetujuan secara lisan dengan Jose Maria Enriquez Negreira yang dirahsiakan. Dalam peranannya sebagai naib presiden Jawatankuasan Arbitral Teknikal (CTA), dan sebagai ganti bayaran dibuat kepadanya, akan melakukan tindakan yang akan memanfaatkan FC Barcelona dalam keputusan-keputusan dibuat pengadil," kata pihak pendakwaan di Barcelona.

Siasatan bermula selepas penguasa cukai di Sepanyol mendapati ada sesuatu yang tidak kena dalam pembayaran cukai oleh syarikat Dasnil 95 - yang dimiliki Enriquez Negreira - antara tahun 2016 hingga 2018.

Dasnil 95 dilaporkan menerima bayaran daripada Barcelona sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut stesen radio Cadena Ser, invois terakhir dikeluarkan pada Jun 2018. Selepas itu CTA disusun semula dan Enriquez Negreira meninggalkan jawatankuasa teknikal tersebut.

Minggu ini, Presiden Barca, Joan Laporta menegaskan kelabnya tidak pernah "membeli pengadil".

Laporan mendakwa kelab Catalan itu membayar 6.5 juta euro (S$9.3 juta) antara tahun 2001 hingga 2018 kepada firma milik Enriquez Negreira.

"Ingin saya jelaskan yang Barca tidak pernah membeli pengadil dan Barca tidak pernah mempunyai niat untuk membeli pengadil, tidak sama sekali," kata Laporta pada Selasa.

Menurut Barcelona, Dasnil 95 dibayar bagi menasihati kelab berkaitan isu pengadilan. Namun pihak pendakwa mengesyaki wang berkenaan mungkin digunakan untuk memberi rasuah kepada pengadil perlawanan.

Di peringkat bola sepak, Barcelona mungkin tidak berdepan sebarang risiko kerana badan induk bola sepak di Sepanyol, Eropah dan dunia mempunyai statut batasan selama lima tahun, kata Presiden LaLiga, Javier Tebas.

Di peringkat jenayah, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun.

Kes itu telah membayangi badan pengadil Sepanyol, yang minggu lalu menuntut agar tindakan seseorang yang didakwa itu tidak "mencemarkan" "imej" dan "kehormatan" semua pengadil.

"Masalah itu membimbangkan kami kerana ia membahayakan bola sepak dan sukan Sepanyol," kata Menteri Kebudayaan dan Sukan Sepanyol, Miquel Iceta pada Selasa.
Sumber : AFP/SU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan