Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Barca 'kembali berpijak di bumi nyata' selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah

Kekalahan 3-0 di tangan Bayern Munich pada Rabu (9 Dis) menandakan kali pertama dalam tempoh 21 tahun Barca kecundang di peringkat kumpulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Barca 'kembali berpijak di bumi nyata' selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah

(Gambar: AFP/Christof STACHE)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 11:51AM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 11:56AM

MUNICH: Jurulatih Barcelona Xavi Hernandez berikrar untuk mengembalikan gergasi Sepanyol itu ke kemuncak bola sepak Eropah selepas mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara pada Rabu (9 Dis) selepas tewas 3-0 kepada Bayern Munich.

Barca, juara Eropah lima kali, tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun. Ia melayakkan diri ke peringkat 16 terakhir dalam setiap musim sejak 2003-04 apabila mereka tidak layak ke pertandingan itu sama sekali.

Sumbatan gol oleh Thomas Mueller dan Leroy Sane memberikan Bayern kelebihan 2-0 pada separuh masa, di tengah-tengah cuaca salji yang turun di Allianz Arena. Perlawanan diadakan tanpa penonton ekoran jumlah tinggi kes COVID-19 di Bavaria.

Pemain remaja Jamal Musiala menjaringkan gol ketiga Bayern setelah waktu rehat, memuktamadkan nasib Barcelona.

"Saya marah. Saya tidak suka bahawa ini adalah realiti kami sekarang. Kami memulakan era baru dari sini - untuk bekerja keras dan kembali ke Liga Juara-Juara," kata Xavi.

Bayern, yang turut menundukkan Barca 3-0 di Camp Nou ketika kedua-dua pasukan bertemu pada September, telahpun layak ke peringkat kalah mati sebagai pemenang Kumpulan E.

Ia kini menyertai Liverpool dan Ajax dengan enam kemenangan sempurna daripada enam perlawanan di peringkat kumpulan.

Kemenangan 2-0 Benfica di padang sendiri menentang Dynamo Kiev bermakna Barcelona menduduki tempat ketiga dan disingkirkan ke Liga Europa.

Hampir lapan tahun berlalu sejak Bayern tewas dalam perlawanan Liga Juara-Juara di padang sendiri dalam peringkat kumpulan dan ketua Bundesliga itu jelas tidak bermurah hati kepada pasukan pengunjung.

Xavi, 41 tahun, yang mengambil alih Barcelona empat minggu lalu ketika ia terkapai-kapai, kini mengalami kekalahan berturut-turut selepas kekalahan pertamanya sebagai ketua jurulatih menentang Real Betis hujung minggu lalu.

"Kami kembali berpijak di bumi nyata. Malangnya, kami akan bertanding dalam Liga Europa sekarang sekalipun ia bukannya tempat untuk kami," tegas Xavi.

"Kami akan bekerja keras untuk meletakkan Barcelona kembali ke tempat yang selayaknya. Kami ada banyak perkara untuk diperbetulkan.

“Kami perlu memenangi Liga Europa dan mendapatkan semula mata dalam liga Sepanyol.

"Kami mengalami beberapa kecederaan, mungkin kami boleh menandatangani beberapa pemain lagi tetapi kami kembali melakar semula strategi."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan