Skip to main content

Sukan

Badminton: Pemain SG Loh Kean Yew kalah kepada Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir Kejohanan Terbuka Thailand

Pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew, gagal mencapai impiannya untuk mengalahkan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn, selepas ditundukkan dalam perlawanan separuh akhir kejohanan Terbuka Thailand pada Sabtu (17 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Badminton: Pemain SG Loh Kean Yew kalah kepada Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir Kejohanan Terbuka Thailand

Loh Kean Yew beraksi di Kejohanan Badminton Asia. (Gambar fail: Pusat Sukan Olimpik Ningbo)

Diterbitkan : 17 May 2025 08:40PM
SINGAPURA: Pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew, gagal mencapai impiannya untuk mengalahkan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn, selepas ditundukkan dalam perlawanan separuh akhir kejohanan Terbuka Thailand pada Sabtu (17 Mei).

Kunlavut mengalahkan Loh dengan keputusan 21-10, 21-12.

Dalam perlawanan di Stadium Nimibutr di Bangkok itu, pemain nombor 2 dunia Kunlavut mendahului Loh 11-8 semasa waktu rihat, untuk memberi Loh peluang mengutip mata bagi mengalahkannya.

Namun, Loh melakukan banyak kesilapan untuk membolehkan Kunlavut meluaskan jurang antara mereka dan memenangi set pertama.

Loh, yang bertanding dalam sembilan perlawanan selama 11 hari, gagal bangkit dalam set kedua, untuk membolehkan Kunlavut mara ke pusingan akhir kejohanan itu.

Walaupun kalah, ini merupakan pencapaian terbaik Loh di kejohanan peringkat Super 500 dalam empat penampilan.

Loh, yang merupakan pemain ke-11 terbaik dunia, bertekad untuk mengalahkan Kunlavut selepas asyik kalah di tangan pemain Thai itu dalam perlawanan-perlawanan lain.

Kunlavut sebelum ini mengalahkan Loh dalam 7 daripada 8 perlawanan mereka.

Kali terakhir pemain Thai itu mengalahkan Loh ialah di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2025 sebulan lalu, di mana Loh meraih pingat gangsa.

Menurut rekod Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kali terakhir pemain berusia 27 tahun itu mengalahkan Kunlavut adalah semasa Kejohanan Cabaran Antarabangsa Thailand 2015.

Walaupun kalah, permulaan tahun ini tetap positif buat Loh, yang telah mara ke empat peringkat separuh akhir, termasuk di Kejohanan Terbuka Taipei, Kejohanan Badminton Asia di mana beliau berkongsi tempat ketiga, serta Kejohanan Terbuka Jerman, di mana beliau muncul sebagai naib juara.

Pemain Singapura itu turut mara ke suku akhir bagi Kejohanan Terbuka All England pada Mac.

Loh merangkul gelaran jaguh perseorangan lelaki di kejohanan Super 300 di kejohanan Terbuka Taipei minggu lalu selepas menundukkan pemain pilihan utama dan nombor tujuh dunia, Chou Tien-chen dari Taiwan.

Beliau memenangi perlawanan itu 21-14, 15-21, 22-20 dalam masa 69 minit, sekali gus merebut kemenangan pertamanya dalam lebih setahun dan menjadi pemain Singapura pertama memenangi kejohanan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita