Badminton: Loh Kean Yew, Yeo Jia Min mara ke suku akhir Terbuka Hylo
Dua pemain badminton negara, Loh Kean Yew dan Yeo Jia Min, berjaya mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, pada Khamis (4 Nov) selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing yang menduduki senarai dunia lebih tinggi.

Pemain badminton Singapura, Yeo Jia Min (kiri) dan Loh Kean Yew. (Gambar: Matthew Mohan)
SINGAPURA: Dua pemain badminton negara, Loh Kean Yew dan Yeo Jia Min, berjaya mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, pada Khamis (4 Nov) selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing yang menduduki senarai dunia lebih tinggi.
Loh, yang bukan pemain pilihan mengalahkan pesaingnya dari Perancis, Toma Junior Popov, 21-15, 11-21, 21-15 dalam acara perseorangan lelaki. Perlawanan sengit itu berlangsung selama hampir sejam. Popov menduduki tempat ke-35 dalam senarai dunia manakala Loh berada di tempat 39.
Sebelum ini, Loh berjaya mengalahkan lawannya, Chou Tien-chen, di pusingan pembukaan perlawanan itu. Loh menundukkan pemain nombor 4 dunia itu dan pemain pilihan utama dengan mata 21-18, 21-13.
Loh akan bertemu pemain pilihan kelima dari Denmark, Rasmus Gemke lewat hari ini untuk merebut tempat di separuh akhir.
Dalam acara perseorangan wanita, Yeo mengalahkan pemain nombor 23 dunia dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, 21-19, 21-17.
Yeo, 22 tahun, kini menduduki tempat ke-26 dalam senarai dunia.
Bulan lalu, Yeo menewaskan pemain Indonesia itu di Kejohanan Terbuka Perancis tetapi perjuangannya terhenti di suku akhir selepas kecundang di tangan pemain Korea Selatan, An Se-young.
Yeo akan menentang pemain Belgium, Lianne Tan, dalam suku akhir, yang pernah dikalahkannya di Terbuka Perancis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.