Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit Sukan SEA hadapi ujian fizikal, mental semasa latihan intensif pada bulan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menjelang Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei nanti, hampir 500 atlit Singapura sudah mula menjalani latihan intensif.

Antara mereka termasuk lebih 100 atlit Melayu/Islam kita yang perlu menjalani latihan semasa bulan Ramadan.

Sejauh mana daya fizikal dan mental para atlit terjejas semasa berpuasa?

DAYA MENTAL PERLU KUAT UNTUK FOKUS DALAM PERMAINAN E-SUKAN

E-sukan merupakan antara sukan yang masih berjinak-jinak dalam persada Sukan SEA.

Antara permainan terbaru yang akan diperkenalkan adalah permainan bola sepak, FIFA.

Bagi edisi Sukan SEA tahun ini, Singapura akan diwakili oleh empat pemain dalam kategori pasukan.

Antaranya adalah Muhammad Syakir Abdul Rauf, 26 tahun.

Biasanya, jurutera dalam bidang aeroangkasa itu sering berlatih dua hingga tiga jam sehari.

Namun dalam bulan Ramadan ini, latihan semasa berpuasa ternyata menguji daya mentalnya.

Syakir berkata: "Dalam bulan Ramadan ini ada susah sikit sebab kita tak minum tak makan, jadi fokus ada kurang sikit. Jadi bila kita adakan perlawanan boleh rasa kelainannya. Tenaga kurang, fokus kurang."

Menurut Syakir, jika tiada fokus dalam perlawanan, prestasinya juga akan terjejas.

Manakan tidak, Syakir menganggap permainan FIFA memerlukan 50 peratus kemahiran dan 50 peratus daya mental.

"Kita akan membuat lebih banyak kesilapan dan membuat keputusan tergesa-gesa. Ada benda-benda yang mungkin tidak akan berpihak kepada kita dan kita nanti akan bingit sendiri. Perkara sebegini yang akan menjejas cara permainan kita," jelas Syakir.

Lantaran itu memang tidak hairanlah bahawa latihan semasa Ramadan akan menyaksikan Syakir lebih mudah kalah dalam perlawanan.

"Dalam puasa ini memang boleh senang kalah sebab kita tak makan, sebab gula, tenaga adalah penting untuk memperbaiki fokus dan kekuatan jadi kalau tidak makan dan minum, susah untuk kita kekalkan fokus dan terus bermain," ujar Syakir.

Sebenarnya, Syakir dan rakan-rakan sepasukannya juga sudah mempersiapkan diri mereka untuk menjalani latihan semasa bulan Ramadan, sebelum masuk bulan Ramadan lagi.

"Sebelum bulan Ramadan, kita biasakan diri kita dengan bermain perlawanan tanpa makan untuk beberapa jam untuk persiapkan diri untuk bulan Ramadan supaya badan kita tak terperanjat."

"Kalau untuk rehat memang bulan Ramadan ada penat sikit semasa berpuasa. Jadi selalunya saya akan tidur lama sikit untuk ada tenaga untuk sepanjang hari," jelas Syakir.

Demi mencapai prestasi lebih baik menjelang Sukan SEA pada bulan depan, Syakir dan rakan-rakan sepasukannya juga akan memulakan latihan intensif.

Pasukan empat sekawan itu sudah mengatur jadual untuk berlatih setiap malam, termasuk pada hujung minggu.

Mereka juga akan menyertai satu pertandingan di peringkat serantau pada Sabtu (16 Apr) sebagai sebahagian daripada persiapan mereka merebut pingat di temasya sukan di Hanoi pada 14 dan 15 Mei.

Sejauh ini, Syakir pernah digelar juara dalam satu pertandingan peringkat serantau pada Disember lalu.

Berbekalkan pengalamannya selama enam tahun dalam e-sukan, Syakir yakin bahawa pasukan negara akan meraih pingat pada Sukan SEA nanti.

Bagi permainan FIFA, ia akan diwakili oleh Syakir, Ahmad Sufian Rahamad, Amraan Gani Musa Bakar dan Yeo Jia Hui Joseph.

Secara keseluruhannya, seramai 31 pemain akan mewakili Singapura dalam tiga jenis permainan semasa Sukan SEA Hanoi nanti.

Ini termasuk permainan League of Legends dan Mobile Legends.

DAYA FIZIKAL PESILAT NEGARA TERCABAR, WAKTU TIDUR DAN MAKAN TERJEJAS

Bagi skuad pesilat negara, mereka perlu sentiasa tangkas dan ligat dalam gelanggang.

Seramai 21 pesilat akan mewakili negara nanti - antaranya juara dunia, Sheikh Ferdous Sheikh Alauddin, 25 tahun

Meskipun sudah menyertai berbagai pertandingan peringkat serantau dan dunia, latihan semasa Ramadan buat Ferdous, mempunyai cabarannya tersendiri.

"Kalau untuk saya untuk latihan sebelum buka, mungkin ada haus. Latihan pun habis lambat, balik pun perlu makan lepas tu kena bangun sahur juga. Jadi waktu makan dan tidur terganggu sikit," kata Ferdous.

Ferdous yang akan bertanding dalam kategori G (berat badan 75-80kg) juga berkata bahawa aspek penting dalam mengekalkan daya tenaga yang tinggi semasa latihan adalah rehat yang mencukupi.

Lantaran itu, dia memastikan bahawa segala peluang pada waktu siang akan digunakannya untuk tidur.

Meskipun perlu membuat penyesuaian kepada waktu rehat dan makan, Ferdous akur para pesilat negara juga perlu menyesuaikan diri sekali lagi pada bulan depan.

Ferdous berkata: "Cabarannya apabila Sukan SEA datang nanti. Sebab perlawanan boleh seawal 9.00 pagi. Kita perlu mula tidur awal dan perlu bangun jam 7.00-8.00 pagi. Jadi itulah kena sesuaikan diri lagi selepas Ramadan nanti."

Hakikatnya, beberapa perubahan dari segi latihan sudah dibuat untuk para atlit negara semasa bulan Ramadan ini, termasuk jadual latihan.

Jurulatih skuad negara, Muhammad Fiqri berkata: "Latihan untuk Sukan SEA ini kita sesuaikan untuk Ramadan. Waktu petang kita buat pukul 4.00 hingga 6.00 petang. Dan malam selalunya jam 8.00 malam ada latihan tetapi kita akan lambatkan sikit kepada 8.30 malam."

"Mereka baru habis berbuka puasa jadi kita harus memastikan mereka bersedia untuk latihan dan biarkan makan 'turun' dulu," tambahnya lagi.

Meskipun jadual latihan diubah, ia tidak bermakna bahawa keamatan setiap latihan dikurangkan.

Encik Fiqri berkata: "Kalau untuk latihan kita tetap kekalkan intensiti tinggi, kita latih teknik, kemahiran. Untuk kemahiran, kita fokus kepada taktik dan strategi. Sekarang ini sudah fasa latihan tahap sebegini. Sebelum ini kita sudah lalui latihan kekuatan."

Selain daripada jadual latihan yang diubah suai, pemakanan para atlit juga dikawal.

Dengan latihan intensif dan tanpa makan tengah hari mereka perlu berbuka puasa dengan secukupnya untuk kekal dalam kelas berat badan masing-masing.

Encik Fiqri berkata: "Silat ini menggunakan berat badan. Jadi ada beberapa atlit yang perlu naik berat badan. Jadi saya perlu tanya apa mereka makan hari-hari dan macam mana puasa dan sahur mereka. Ada juga yang hilang berat badan. Jadi mereka ambil kesempatan ini untuk hilangkan berat badan."

Berikut senarai penuh skuad negara:

1. Abdul Raazaq Abdul Rashid
2. Amirah Sahrin
3. Aniq' Asri Mohammad Yazid
4. Iffah Batrisya Noh
5.Muhammad Rizuan Muhammad Razak
6. Muhammad Hazim Mohamad Yusli
7. Muhammad Hazim Mohammad Zaque
8. Muhammad Haziq Mohammad Zaque
9. Muhammad Iqbal Abdul Rahman
10. Muhammad Nazrul Mohd Kamal
11. Muhammad Riansyauqi Misyam
12. Muhammad Syakir Jeffry
13. Muhammadinil Mustafar Mohd Isa
14. Nur Asikin Zulkifli
15. Nur Azylana Ismail
16. Nurul Suhaila Mohamed Saiful
17. Sharifah Shazza Samsuri
18. Sheik Farhan Sheik Alauddin
19. Sheik Ferdous Sheikh Alauddin
20. Siti Khadijah Mohamad Shahrem
21. Siti Nazurah Mohd Yusoff

Sukan SEA tahun ini, yang ditunda dari 2021 dek pandemik COVID-19, akan menyaksikan 526 acara dalam 40 sukan.

Semasa Sukan SEA 2019 di Filipina, Singapura menghantar kontingen terbesarnya seramai 659 atlit dan membawa pulang 53 pingat emas, 45 pingat perak dan 68 pingat gangsa.

Edisi Sukan SEA 2015 di Singapura pula menyaksikan prestasi terbaik negara dengan para atlit merangkul 84 pingat emas, 73 pingat perak dan 102 pingat gangsa.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan