Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit S'pura tidak sabar bersaing dalam Sukan SEA Hanoi selepas ditunda dek COVID-19: Chef de mission

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Apr 2022 07:35PM Dikemas Kini : 27 Apr 2022 11:55PM

SINGAPURA: Atlit Singapura sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertanding dalam Sukan SEA bulan depan di Hanoi, Vietnam kata, Chef de mission, S Sinnathurai pada Rabu (27 Apr).

"Selepas setahun ditunda, atlit kami tidak sabar untuk bertanding selepas menjalani latihan dan bekerja keras sejak beberapa tahun lalu, kata Encik Sinnathurai, seorang bekas atlit taekwando kebangsaan.

Sebanyak 427 atlit akan mewakili Team Singore di temasya sukan itu dan akan bertanding dalam 33 jenis sukan.

Mereka termasuk juara Olimpik Rio, Joseph Schooling, juara badminton, Loh Kean Yew dan juara Silat sebanyak tiga kali, Sheik Farhan.

Mereka juga akan menjadi pembawa bendera kontinjen Singapura.

Lebih separuh atlit Singapura, iaitu 243 daripada mereka bakal membuat penampilan sulung di acara sukan yang ditunda daripada Disember 2021 dek pandemik COVID-19.

Mereka termasuk Max Lee, atlit penyelam berumur 14 tahun yang merupakan atlit termuda Singapura manakala juara dunia biliard, Peter Gilchrist, 54 tahun, merupakan atlit tertua dalam kontinjen negara.

Acara pertama Singapura pada temasya itu ialah pertandingan bola baling pantai yang bermula pada 6 Mei.

“Bagi saya, dapat mewakili Singapura adalah sesuatu yang sangat istimewa. Mentelah lagi dapat mengetuai kontinjen sebagai pembawa bendera, akan menjadikan Sukan SEA kali ini yang amat saya ingati,” kata Sheik Farhan, 24 tahun.

“Saya tidak sabar untuk bersaing di temasya sukan utama sekali lagi, dan tidak sabar untuk menikmati pengalaman di Hanoi.”

Ini merupakan kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA yang akan berlangsung dari 12 Mei hingga 23 Mei. Terdapat 526 acara dalam 40 sukan.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT COVID-19

Langkah-langkah pengurusan selamat sudah disediakan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kontinjen negara, sama seperti langkah yang diambil semasa Sukan Olimpik Tokyo, menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).

Para atlit akan tiba dua hari sebelum hari pertandingan mereka dan berangkat pulang dalam masa 24 jam selepas tamat pertandingan.

"Protokol keselamatan dan kebersihan" juga disediakan untuk memastikan atlit di dalam keadaan yang baik dan sihat sepanjang masa, tambah SNOC.

Semua anggota kontinjen yang layak menerima suntikan COVID-19 sudah lengkap divaksin, kata ketua pegawai perubatan Kelvin Chew dalam satu satu sidang media.

Setiap atlit juga menerima pek makanan dan nutrisi yang mengandungi pelbagai jenis makanan serta kit ujian COVID-19, dan cecair pembasmi kuman dan pelitup.

Anggota kontinjen hanya dibenarkan untuk melakukan perjalanan antara tempat latihan, tempat pertandingan dan tempat penginapan mereka.

Berdasarkan protokol COVID-19 yang dikuat kuasakan oleh tuan rumah, setiap atlit harus menjalani ujian COVID-19 24 jam sebelum pertandingan dan sekali setiap tiga hari, kata Dr Chew.

Seandainya seorang atlit itu disahkan positif COVID-19 dan ada gejala ringan atau tidak bergejala, mereka akan diasingkan di tempat penginapan mereka, kata Dr Chew. Atlit tersebut akan dipantau oleh sepasukan doktor.

Atlit yang sudah sembuh perlu menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19 dan disahkan oleh doktor pasukan untuk bertanding.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Singapura menghantar kontinjen terbesar terdiri daripada 659 atlit yang bertanding dalam 48 sukan. Mereka membawa pulang 53 pingat emas, 46 perak dan dan 68 gangsa.

Namun, prestasi terbaik pasukan negara ialah pada Sukan SEA 2015 apabila Singapura menjadi tuan rumah dengan 84 pingat emas, 73 perak dan 102 gangsa.

Bagi sasaran pingat di Hanoi pula, Ketua Institut Sukan Singapura Su Chun Wei berkata para atlit akan memberikan prestasi yang terbaik.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan