Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit Rusia tuduh rancangan IOC 'keterlaluan dan berbentuk diskriminasi'

Anggaran Waktu Membaca:

MOSKO: Saranan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk membenarkan penyertaan atlit Belarus dan Rusia dalam pertandingan antarabangsa sebagai peserta berkecuali disifatkan sebagai "keterlaluan dan berciri diskriminasi", menurut Suruhanjaya Atlit Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC). 

IOC mengenakan sekatan ke atas Rusia dan sekutunya Belarus setelah Mosko mencerobohi Ukraine pada Februari 2022, tetapi pada bulan lalu, mencadangkan agar para atlit dari kedua-dua negara itu dibenarkan bersaing dalam pertandingan antarabangsa sebagai atlit berkecuali. 

Saranan-saranan yang diusulkan itu termasuk para atlit Rusia dan Belarus boleh bertanding tanpa bendera atau lagu kebangsaan, manakala atlit yang menyokong peperangan atau dikerahkan untuk menyertai pasukan tentera atau agensi keselamatan negara dikecualikan daripada bertanding, lapor Reuters.

Pada Mac, Ketua ROC Stanislav Pozdnyakov mengutuk saranan-saranan tersebut, dengan pendirian itu turut disokong oleh suruhanjaya atlit berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas juara Olimpik 800 meter Yuriy Borzakovskiy. 

"Kriteria penyepaduan dan penyertaan itu dianggap keterlaluan dan berdiskriminasi - atas kerakyatan dan pasport, atas disiplin dan sukan, dan atas kaitan dengan entiti-entiti tertentu yang membangunkan temasya sukan berkenaan selama beberapa dekad pasca Soviet," menurut suruhanjaya tersebut dalam kenyataannya.

"Hari ini, kami, para atlit, ditahan sebagai tahanan permainan politik yang memecahbelahkan masyarakat sukan antarabangsa dan pada masa yang sama, mencetuskan perselisihan dalam kalangan keluarga Olimpik - menetapkan garis batas penyertaan, mentakrifkan siapa yang layak untuk bersaing dan sebaliknya." 

Tenis meja, pentatlon, lawan pedang, judo dan taekwondo adalah antara sukan Olimpik yang membenarkan penyertaan atlit dari Rusia dan Belarus sebagai atlit berkecuali.

IOC akan membuat keputusan berasingan mengenai penyertaan para atlit Rusia dan Belarus di Sukan Olimpik 2024 pada satu tarikh yang bakal diumumkan kelak, manakala Ukraine mengancam akan memboikot temasya sukan itu sekiranya atlit Rusia dibenarkan untuk bertanding. 

Meskipun Suruhanjaya Atlit Rusia menyifatkan saranan IOC sebagai keterlaluan, negara-negara lain menegaskan bahawa IOC bersikap terlalu lembut. 

Pada Selasa (25 Apr), Menteri Sukan Britain dan Perancis menekankan bahawa para atlit dari Rusia dan Belarus tidak sepatutnya dibenarkan bertanding sebagai atlit berkecuali, manakala Ukraine melarang pasukan sukan negaranya daripada menyertai acara-acara yang menyaksikan pertarungan antara kedua-dua negara itu. 

Sumber : Reuters/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan