Atlit renang Gan Ching Hwee, Quah Zheng Wen catat hatrick emas, Maximillian Ang pecah rekod Sukan SEA
HANOI: Pasukan renang Singapura meraih tiga pingat emas pada hari keempat pertandingan pada Selasa (17 Mei).
Gan Ching Hwee dan Quah Zheng Wen masing-masing membawa pulang pingat emas ketiga mereka di temasya itu, manakala atlit renang kuak dada Maximilian Ang mencatatkan rekod Sukan dengan pingat emas individu pertamanya.
Gan menang selesa dalam acara 400 meter gaya bebas, sekali gus membuktikan kehebatan beliau dalam acara-acara jarak sederhana dan panjang. Gan sebelum ini menang emas bagi acara 200 dan 800 meter. Pingat emas yang diraihnya bagi acara 400 meter merupakan yang pertama bagi Singapura sejak Joscelin Yeo mencapai kemenangan pada 1995.
Kamonchanok Kwanmuang dari Thailand menyusul di belakang, manakala My Tien Vo Thi dari Vietnam membawa pulang pingat gangsa.
Atlit Singapura Ashley Lim terlepas menduduki tempat keempat, tetapi berjaya mencatat rekod peribadi.
Quah Zheng Wen merangkul pingat emas ketiganya di temasya itu apabila menang acara kuak lentang 50 meter lelaki dengan masa 25.83.
Paul Le Nguyen meraih pingat perak, manakala I Gede Siman Sudartawa, pingat gangsa.
Rakan sepasukan Quah, Gabriel Koo, tamatkan perlumbaan di tempat kelima, tetapi berjaya mencatatkan rekod peribadi 26.42.
Bagi acara gaya kupu-kupu 50 meter, Quah Ting Wen terlepas pingat emas kepada Jenjira Srisa-Ard dari Thailand. Ting Wen menduduki tempat kedua manakala adiknya Jing Wen meraih gangsa.
Maximilian Ang berjaya mencatatkan rekod baru Sukan SEA bagi acara kuak dada 200 meter dengan mencatat masa 2:11:93. Ini juga merupakan pingat emas pertamanya bagi acara individu.
Pasukan rampaian campuran lelaki 4x200 meter terdiri daripada Jonathan Tan, Glen Lim, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen mencatatkan masa 7:21:49 di belakang Malaysia dan Vietnam, yang mencatatkan rekod baru Sukan tersebut.
Ini bermakna Schooling berjaya membawa pulang dua pingat emas dan satu gangsa.
Ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.